27 Julai, 2012
PUASA DAN ADAB MAKAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Apabila kita menyebut Ramadan, maka tidak boleh dipisahkan dari
pelbagai jemputan berbuka puasa sepanjang bulan ini. Amalan menjemput orang
berbuka, ataupun menyediakan makanan untuk mereka yang berpuasa merupakan satu
amalan yang mulia yang digalakkan dalam sunnah Nabi s.a.w. Walaupun secara
umumnya menjamu orang lain makan merupakan amalan yang digalakkan dalam hadis,
namun menjamu orang berbuka puasa lebih banyak lagi ganjarannya. Ini seperti
yang disabdakan oleh Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memberi makan orang
yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang
berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut”
(Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).
Justeru itu golongan salaf begitu bersungguh-sungguh menjamu
makan untuk orang yang berbuka puasa. Amalan ini juga, Alhamdulillah hidup
dalam masyarakat kita hari ini.
Islam satu agama yang bertamadun. Ia mengajar kehalusan budi dan
pekerti, termasuklah ketika waktu makan dan minum. Islam bukan sahaja
memerintah kita memakan yang halal, Islam juga mengajar etika ketika makan.
Maka, bulan puasa ketika kita berbuka puasa kita sebenarnya sedang menghayati
amalan sunnah. Seperti mana puasa itu sunnah, berbuka (iftar juga) sunnah. Maka
apabila sedang mengamalkan sunnah berbuka puasa seperti berbuka dengan rutab
ataupun tamar, janganlah pula kita lupa adab-adab makan yang lain.
Antara adab makan yang ditegaskan oleh Islam ialah memulakan
dengan bismillah kemudian makan dan minum dengan tangan kanan. Hal ini seperti
yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan,
ketika itu dia masih kecil:
“Wahai budak! Sebutlah nama Allah,
makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu.”( al-Bukhari dan
Muslim).
Bismillah
Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan
boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada
kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan
yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu
membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah
namaNYA ketika makan. Juga bergantunglah segala harapan dan kekuatan dengan
namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Kita mengambil
kekuatan dalam hidup ini daripadaNYA.
Tangan Kanan
Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir
dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam
hadis lain baginda menyebut:
“Apabila seseorang kamu makan,
makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan
kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri” (Riwayat
Muslim).
Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda
bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang
menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh
berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan.
Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan
budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas
kelihatan bagi orang muslim.
Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan
kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garpu (folk) untuk menyuap lauk
ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya
kerana tangan kanan ada bekas makanan. Kesemuanya ini amalan syaitan.
Berdoa Untuk
Pemberi Makanan
Sikap berterima kasih amatlah ditekankan oleh Islam. Nabi s.a.w
bersabda:
“Sesiapa yang tidak tahu berterima
kasih kepada manusia, dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah” (Riwayat
Ahmad dan at-Tirmizi, bertaraf sahih).
Maka kita juga mesti demikian apabila mendapat jemputan. Kita
disunnahkan berdoa untuk pemberi makan dan berterima kasih kepadanya. Dalam
hadis
“baginda s.a.w. pernah datang kepada
(rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan
dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah
makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”
(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menilainya
sahih).
Mengikut Kadar
Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan
kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang
selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab
di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan
sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang
diambil. Sabda Nabi s.a.w :
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu
bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa
suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya).
Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk
minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini
hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan
hadis ini hasan).
0 comments:
Catat Ulasan