21 Julai, 2012
Hukum Ucapan Bersempena Ramadan
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sudah menjadi kebiasaan manusia bertamadun mengucapkan tahniah atau
apa-apa ucapan penghargaan apabila mendapati seseorang lain memperolehi sesuatu
kebaikan ataupun selamat dari sesuatu bahaya. Manusia dalam pelbagai bangsa dan
budaya telah mencipta ungkapan tahniah atau tahiyyah (greeting) untuk pelbagai sempena. Ada
ucapan sempena waktu pagi dan petang, sempena hariraya dan sambutan kenegaraan,
sempena kejayaan dan pelbagai lagi. Ini adalah adat manusia yang merupakan
sebahagian dari lambang ketinggian budi dan tamadun.
Oleh kerana ucapan kepada mereka yang diberikan nikmat tertentu sebagai
satu cara bagaimana manusia menggambarkan hubungan antara mereka, maka Islam
menghitungnya sebagai perbuatan yang mendapat pahala. Oleh itu apabila tiga
orang sahabat Nabi s.a.w iaitu Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah
bin al-Rabi’ yang telah dihukum oleh Nabi s.a.w secara dipulau oleh masyarakat
muslim kerana tidak menyertai peperangan Tabuk diberikan kemaafan oleh
al-Quran, maka para sahabat Nabi s.a.w yang lain mengucapkan tahniah kepada
mereka atas keampunan Allah tersebut.
Kisah mereka disebut dalam Surah
at-Taubah ayat 118 dan juga hadis-hadis sahih termasuk al-Bukhari dan Muslim.
Mengulas ucapan gembira yang para sahabat Nabi s.a.w berikan kepada mereka
bertiga, al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) menyebut dalam Syarh Sahih Muslim:
“Ia adalah dalil disunatkan mengucapkan kegembiraan dan tahniah kepada
sesiapa yang baru mendapat sesuatu nikmat zahir , ataupun terlepas dari sesuatu
kesusahan yang amat, ataupun seumpamanya. Sunat ini merangkumi segala nikmat
yang diperolehi, ataupun kesusahan yang terlepas, samada dalam urusan agama
ataupun dunia”.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Zad al-Ma’ad
juga menyebut:
“Pada hadis (kisah tiga sahabat tersebut) dalil disunatkan mengucapkan
tahniah kepada sesiapa yang baru mendapat nikmat berkaitan agama, (disunatkan)
bangun kepadanya dan berjabat tangan jika bertemu. Ia pula sesuatu yang harus
(diboehkan) bagi sesiapa yang mendapat nikmat dunia”.
Tiada Halangan
Ertinya, walaupun Islam telah menetapkan bahawa ucapan rasmi Islam
apabila muslim bertemu antara mereka adalah ‘salam’, namun Islam dalam masa yang
sama tidak menghalang untuk kita mengucapkan ucapan yang lain yang tidak
menyanggahi ajaran Islam. Salam adalah ucapan apabila kita bertemu ataupun
memulakan bicara dengan seseorang. Namun ucapan perhormatan dan tahniah,
membabitkan lebih banyak keadaan dan sempena yang pelbagai. Islam tidak
melarangnya. Bahkan Islam memerintahkan kita menjawab setiap ucapan penghormatan
(greeting) dengan yang lebih baik, ataupun setara dengannya. Ini seperti firman
Allah: maksudnya):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat,
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah
dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap
sesuatu”. (Surah al-Nisa: ayat 86).
Maka sebab itu jumhur ulama tidak melarang ucapan tahniah sempena
hariraya. Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam al-Mughni memetik bahawa al-Imam Ahmad
bin Hanbal mengizinkan
ucapan “TaqabbalalLahu
minna wa minka” (Allah
terima dari kami dan kamu). Walaupun tiada hadis yang meriwayatkan hal ini,
namun perkara ini termasuk dalam keumuman urusan kehidupan yang diizinkan dan
diluaskan oleh Islam. Ia bukan satu penciptaan ibadah baru, tetapi suatu
hubungan social antara manusia.
Tanpa syak lagi, kedatangan Bulan Ramadan suatu nikmat kegembiraan dunia
dan akhirat untuk umat Islam. Maka ucapan sempena kedatangan Ramadan sama
seperti ucapan sempena kedatangan hariraya dan selainnya yang mengembirakan
kita. Justeru itu, ucapan itu sesuatu yang baik dan boleh mendapat pahala
kerana mengukuh hubungan sesama muslim. Jika pada senyuman ada pahala,
apatahlagi bagi ucapan yang baik. Maka ini juga menjawab mereka yang melarang
penghantaran ucapan selamat hariraya ataupun selamat menyambut Ramadan.
1 comments:
Vampires in the Enchanted Castle casino - FilmFileEurope
Vampires in the Enchanted Castle Casino. Vampires in 토토 사이트 the Enchanted Castle jancasino Casino. Vampires in the Enchanted Castle Casino. 출장안마 Vampires in the 바카라 사이트 Enchanted Castle Casino. Vampires in febcasino.com the Enchanted
Catat Ulasan