23 Julai, 2012
BERSELAWAT DAN ZIKIR DI CELAH-CELAH SEMBAHYANG TARAWIH?
Pada asalnya seseorang
itu digalakkan untuk berzikir di mana-mana waktu dan tempat selagi tidak ada
nas yang melarangnya. Ada juga tempat-tempat yang dilarang kita untuk membaca
al-Qur`an walaupun ketika dalam sembahyang iaitu ketika ruku’. Walaupun pada asalnya,
membaca al-Qur`an itu digalakkan namun ada juga waktu yang dilarang.
Menjadi kelaziman umat
Islam di Malaysia membaca selawat dan beberapa zikir yang lain dengan suara
yang ditinggikan dan cara yang khusus di celah-celah sembahyang Tarawih. Sesuatu
yang tidak pernah diamalkan di negara-negara Arab dan negara yang majoritinya
umat Islam seperti Pakistan.
Selawat kepada
Rasulullah s.a.w. sangat dituntut terutama setiap kali disebutkan nama baginda.
Dalam masalah zikir dan selawat di antara dua sembahyang Tarawih ia diharuskan
tetapi tidak dengan kaifiyat tertentu dan dengan suara yang nyaring sehingga
menimbulkan suasana bising.
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ
لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Berdoalah kepada Tuhan
kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raf: 55)
قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ
أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ
وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا
Katakanlah (Wahai
Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama
"Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu
adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta
mulia". dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga
janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana
antara itu. (surah al-Isra`: 110)
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ {
وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا } فِي الدُّعَاءِ
Daripada ‘A`ishah
katanya: “Ayat ini, `janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu,
juga janganlah engkau perlahankannya’, turun tentang doa. (al-Bukhari)
Di samping itu, tidak
perlu ditentukan kaifiyat atau zikir yang khusus. Seseorang boleh memilih
mana-mana zikir dan tasbih yang diingatinya tanpa perlu kepada tertib dan
susunan yang tertentu. Waktu selang di antara setiap rakaat boleh diisi dengan
doa dan istighfar. Apa yang penting setiap zikir dan selawat dilafazkan dengan
suara yang perlahan kerana itulah yang lebih mendatangkan khushu’ dan khudu’.
Menyaringkan selawat sehingga menjerit-jerit tidak menepati kaedah al-Qur`an
dan al-Sunnah malah membawa kepada kebiadapan terhadap Rasulullah s.a.w.
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا
مُهِينًا
Sesungguhnya orang-orang
yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan Rasul-Nya, Allah
melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab
seksa yang menghina. (Surah al-Ahzab: 57)
Dalam masa yang sama
juga tidak menjaga adab ketika berada di dalam masjid. Sepatutnya tidak
dibenarkan sama sekali diangkatkan suara walaupun untuk berzikir. Perbuatan ini
boleh mengganggu orang lain yang juga sedang berzikir dan bersembahyang.
Ramai juga yang
berhujah, jika tidak diadakan selawat beramai-ramai maka suasana sembahyang
tarawih sunyi dan tidak meriah. Hujah ini sebenarnya sangat meleset dan jelas
sekali tidak menggambarkan kefahaman tentang maksud dishari’atkan setiap
ibadat. Ibadat sama sekali tidak dilakukan untuk tujuan kemeriahan tetapi untuk
menyatakan ketundukan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t.
Kesalahan juga berlaku
apabila orang dewasa yang berselawat dengan menjerit maka kanak-kanak juga
meniru dan mengikut rentak mereka. Kegagalan menunjukkan akhlak dan mendidik
mereka adab berzikir dan adab berada dalam masjid.
Perlu diperhatikan
bahawa akibat terlalu mementingkan selawat beramai-ramai ialah membawa kepada
kebisingan dan melanggari adab-adab masjid dan selawat itu sendiri. Sesuatu
yang sangat bertentangan dengan roh dan adab-adab Islam.
Kesan negatif yang
ketara ialah kemeriahan itu tidak ada lagi apabila tiba penghujung Ramadan dan
masjid menjadi sunyi sepi dan hanya kedengaran suara orang-orang tua.
0 comments:
Catat Ulasan