23 Julai, 2012
Bagaimanakah Memustajabkan Doa Ramadan?
Doa!
Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu
kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja
nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu
memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan
sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya.
Kehidupan ini jauh lebih besar dari
kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang
merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih
dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa
hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan
akhir. Zahir dan batin.
Peranan
Jiwa
Semakin
dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat
berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya
kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya,
bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk
yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini.
Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai
perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu.
Maka
jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia
berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang
mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi
perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan
penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan
diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat
ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.
Setelah
kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk
memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan
dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang
disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka
Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka
Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):
“Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka
hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah:
186).
Kesucian
Nurani
Setiap
manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan
muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap
orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian
fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu
mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak
Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk
kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan.
Sesiapa
yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya.
Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka
bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya.
Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah
melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini
berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya
bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat
Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian
hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih).
Al-Munawi
menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai
doa dalam firman Allah: (maksudnya)
“Berdoalah
kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk
para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para
nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai
jantung hati mereka maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu.
Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta
bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya
hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara
lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Justeru,
Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani.
Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab.
Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji
Allah ini mungkin tidak untuk kita.
0 comments:
Catat Ulasan