10 Mac, 2012

Baginda Menyantuni Murid Yang Hilang Motivasi Diri




ABU SAIF @ www.saifulislam.com
“Hoi!” jerkah Cikgu Mamat.
Syafiq tersentak.
“Apa yang kamu termenung melangut tengok ke luar tu? Kamu nak balik tidur ya?” Cikgu Mamat mengherdik dari depan.
Pen marker dibaling tepat mengena dahi Syafiq!
Murid-murid lain ketawa.
Lucu melihat Syafiq yang mukanya kemerah-merahan menahan malu. Biar pun ini bukan kali pertama beliau disergah sebegitu, masalah pergaduhan antara ibu dan ayahnya di rumah amat merungsingkan diri. Syafiq sering termenung. Dan sekali lagi, menungannya mengundang malu.
“Kalau kamu tidak berminat hendak belajar, ambil beg kamu ini dan balik ke rumah. Peluk bantal busuk. Jangan serabutkan kelas ini!” sindir Cikgu Mamat.
Cikgu Mamat amat tersinggung dengan sikap Syafiq. Perbuatannya melabuhkan pandangan ke luar tingkap amat  mencabar dirinya. Puas segala persiapan dilakukan untuk mengemaskan proses mengajar, anak muridnya yang satu itu tidak memberi perhatian. Lebih berminat dengan pemandangan luar bilik darjah. Rama-rama terbang? Kucing bergaduh? Siput babi? Entah apa yang si Syafiq perhati.
Kekecewaan Cikgu Mamat itu memang berasas.
Bukan sedikit masa yang diperuntukkannya untuk menyiapkan bahan mengajar.
Sekurang-kurangnya berilah perhatian. Masakan ia permintaan yang terlalu sulit untuk ditunaikan.
Namun kekecewaan Cikgu Mamat itu mungkin boleh dirawat bukan pada mengubah Syafiq, tetapi mengubah apa yang paling boleh diubah, yakni diri Cikgu Mamat sendiri. Syafiq perlu dibantu mengubah dirinya, namun Cikgu Mamat perlu membantu Cikgu Mamat mengubah Cikgu Mamat.
Bagaimana?
SECEBIS KISAH LIPATAN SIRAH
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga seorang pendidik.
Baginda gemar memperkenalkan dirinya sebagai seorang pendidik.
Baginda bukan hanya berperanan mengajar, tetapi baginda juga mendidik. Pendidikan baginda, sebahagian daripada uswah teladan yang baik buat Cikgu Mamat dan kita semua.
عن مالك بن الحويرث قال أتينا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن شببة متقاربون فأقمنا عنده عشرين ليلة وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم رحيما رقيقا فظن أنا قد اشتقنا أهلنا فسألنا عن من تركنا من أهلنا فأخبرناه فقال ارجعوا إلى أهليكم فأقيموا فيهم وعلموهم ومروهم فإذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم ثم ليؤمكم أكبركم
Daripada Malik bin al-Huwairith radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: Kami telah datang kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam (untuk belajar secara intensif daripada Baginda). Kami ketika itu adalah anak-anak muda yang hampir sebaya dan kami tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami dapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Suatu ketika, Baginda telah merasakan bahawa kami dilanda rasa rindu kepada ahli keluarga. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya kepada kami tentang keluarga yang telah kami tinggalkan di rumah. Maka kami pun menceritakannya kepada Baginda. 
Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Pulanglah kalian kepada keluarga semua, tinggallah bersama mereka, ajari mereka, anjurkan mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaklah yang paling besar (tua) daripada kalian bertindak sebagai imam” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Baginda seorang yang peka.
Peka dengan kemerosotan motivasi anak muridnya.
Peka yang disambut bukan dengan andaian sendiri tetapi menyantuni si anak murid dengan bertanya sendiri kepada mereka. Menyediakan ruang yang kondusif untuk murid-murid itu memberitahu. Mereka bukan hilang minat kepada kelas ‘Ustaz Muhammad’, tetapi mereka sebagai manusia biasa, rindu kepada keluarga.
Baginda bukan sahaja peka. Baginda juga berminat untuk tahu. Bertanyakan hal ahli keluarga di rumah, dan mendengar dengan setia apa yang diceritakan oleh anak-anak muridnya. Baginda bukan guru sepenuh masa. Baginda adalah ketua kampung, ketua tentera, hakim, ketua polis, suami kepada beberapa orang isteri, dan ada banyak kelas lain yang dikendalikannya. Baginda seorang yang amat sibuk. Tetapi sibuk bukan alasan untuk tidak mengambil tahu perihal anak-anak murid baginda.
Masalah peribadi.
Masalah ibu bapa.
Apa sahaja.
Bukan sahaja mendengar, jauh sekali mengejek, menyindir atau memperlekeh ‘lemah semangat’ si anak muda, baginda bertindak realistik pada memenuhi keperluan anak muda itu. Mereka disuruh pulang. Tetapi bukan pulang sebagai manusia yang sama seperti sebelum datang. Sebaliknya pulang dengan misi mendidik, mengajar, menyampai, namun dalam suasana yang terbaik untuk mereka berperanan, di rumah mereka sendiri.
SELINGAN NASIHAT DALE CARNEGIE
Demikianlah Dale Carnegie mengulas di dalam bukunya How to Win Friends and Infuence People.
Ketika semua orang hakikatnya berminat hanya dengan diri masing-masing, bagaimana mungkin kita menjadi manusia yang boleh memenangi hati orang dan mempengaruhi mereka apabila kita memaksa mereka berminat dengan kita? Apa yang menjadikan kita outstanding ialah apabila kita berkongsi minat yang sama dengan mereka, iaitu berminat dengan diri mereka!
Sekali lagi, MENYANTUNI MANUSIA DENGAN WALYATALATTHOF, menuntut tadabbur kita selaku pendidik, pendakwah, ibu bapa, majikan dan pemimpin.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share