06 Ogos, 2011

Banyak-banyak hadis sahih, hadis dha’if dan palsu juga yang dipilih




AbuAqil Adnan

Setiap kali bulan Ramadan tiba pasti akan ada penceramah-penceramah yang tidak berhati-hati menyandarkan secara yakin sesuatu hadis kepada Baginda saw padahal hadis tersebut bertaraf lemah atau yang lebih teruk  hadis palsu. Yang menjadi mangsanya ialah orang awam yang menerima bulat-bulat hadis tersebut dan disebarkan kepada orang lain. Mereka telah melakukan pendustaaan kepada baginda Nabi saw.

Berikut beberapa hadis yang tidak sahih yang masyhur dan sering diwar-warkan di kaca televisyen atau penceramah di masjid-masjid.

Pertama :
“Kalaulah seseorang itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan itu nescaya mereka akan mengharap bahawa sepanjang tahun itu seluruhnya ialah Ramadhan sahaja…”

Status : palsu

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no. 1886) dan Ibn al-Jauzi di dalam kitabnyaal-Maudhu‘at: 2/188-189) daripada sumber Jarir bin Ayub al-Bajli, daripada al-Sya’bi, daripada Nafi’ bin Burdah, daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari.

Hadith ini berada di martabat maudhu’ (palsu), ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan (2/101) menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith . 

Kedua

“Wahai sekalian manusia, telah memayungi kamu satu bulan yang agung, bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa dibulan ini wajib, dan berqiyam pada malamnya sunat, maka barangsiapa yang berbuat kebajikan padanya dengan satu kebajikan adalah serupa dengan orang yang menunaikan fardhu pada selainnya. Dan barangsiapa yang menunaikan perkara fardhu pada bulan ini, menyamai seperti menunaikan tujuh puluh fardhu di bulan-bulan lain.

Status hadis : da’if

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah (no.1887) melalui perawi Ali bin Zaid bin Jad‘an daripada Said bin al-Musaiyib daripada Salman. Sanad hadith ini adalah dhaif (lemah) disebabkan oleh Ali bin Zaid bin Jad ‘an. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib (7/322-323) mengemukakan hukuman beberapa orang ulamak terhadap Ali bin Zaid ini, antaranya:

-         Ibn Sa’d berkata: “Padanya terdapat kelemahan, dan aku tidak berhujah dengannya”.
-         Ahmad bin Hanbal berkata: “ Tidak kuat”.
-         Ibn Ma ‘in pula berkata: “Dha‘if”.
-         Ibn Khaithamah berkata: “Dha‘if dalam semua perkara”.
-         Ibn Khuzaimah berkata: “Aku tidak berhujah dengannya disebabkan keburukan hafalannya”.

Ketiga

“Berpuasalah kamu maka nescaya kamu sihat”

Status hadis : da’if. Nahsyal ialah tidak diterima kerana berdusta dan dhahak pula tidak pernah mendengar dari Ibn Abbas.

Hadith ini adalah potongan hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu‘afa’ (7/2521) melalui silsilah Nahsyal bin Sa‘id daripada al-Dhahak daripada Ibn ‘Abbas. Nahsyal adalah seorang yang “Matruk”, dan al-Dhahak  tidak pernah mendengar hadith ini daripada Ibn ‘Abbas.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib bahawa: “Nahsyal bin Said….. adalah ‘matruk’, dan Ishaq bin Rahuyah telah menyatakan bahawa dia adalah pendusta”. Al-Hafiz al-‘Iraqi pula di dalam kitabnya Takhrij Ahadith fi Ihya’ Ulum al-Din(3/87): “Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam kitabnya al-Awsat dan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang dha ‘if”.

Semoga kita semua lebih berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu hadis kepada nabi saw.
Jangan sampai kita menerima hadis yang tidak sahih lalu menyebarkannya kepada orang lain.

(Salim al-Hilali, Sifat al-Saum al-Nabi fi Ramadhan, (Bierut: Dar Ibn Hazm, cetakan 7, 2001) hal. 108-112)



1 comments:

MalizaMah berkata...

Hai...
Macam-macam skrg nk memesongkan... aduhai...

singgah tgk entry n klik2... sama2 jana tabung...
jom klik2...
Moga berjaya dgn nffng...
Salam perkenalan.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share