04 Jun, 2011

Acara Makan-makan...Penutup Dengan Sup Belut



Pengantin, Isya bersama kawan-kawannya
AbuAqil AKA AbuSakeena

Hari ini paling banyak dapat jemputan untuk menghadiri majlis kenduri atau walimatul urus. Sememangnya telah sinonim cuti sekolah dengan musim makan kenduri.

bermula dengan solat hajat dirumah bapa saudara, Abe Ngah sempena cucunya akan melanjutkan pelajaran. Dijamu dengan sup kaki lembu yang sememangnya menjadi kegemaran aku. Tapi tak boleh makan banyak kerana terpaksa simpan 'ruang' untuk 3 tempat kenduri lagi.

kemudian bersama semua ahli famili menuju ke rumah abang kadir di Pasir Puteh, perkahwinan anak saudara yang comel lote, Isya. Paling gembira menghadiri majlis seperti ini ialah dapat berjumpa dengan saudara-mara yang lama tidak berjumpa. Semua ada, abang-abang, adik, sepupu bapa saudara dan saudara jauh.

Destinasi berikutnya pula ialah ke kampung Nipah, kampung bapa mertuaku yang kebetulan terdapat dua majlis walimah berhampiran dengan rumahnya. Pertama menuju ke rumah Ustaz Md Zin Yakob Penyelia Agama PPD Bachok. Beliaulah yang bertanggungjawab membawa aku pulang masuk ke Bachok. Jasanya tidak akan aku lupakan sampai bila-bila.

Setelah solat Asar, pergi pula ke rumah PKP SMK Dato' Perdana Pn Hjh Normah Salleh merangkap rumah anak muridku Anis Nasihah kelas 2 Aked . Penampilannya sungguh 'jangok' dan mesra. Terima kasih kerana tidak segan dan sudi melayan dan berbual dengan ustaz di samping berusaha memujuk untuk tidak dimarahi ekoran markah B.Arab yang tidak memuaskan...:).

Di sini aku makan sekadar ambil syarat. Isteri dan anak-anak hanya makan kuih sahaja. Di sini Aku sempat berbual dengan beberapa orang kenalan yang lama tidak berjumpa. Pukul 6.00 bertolak pulang dalam keadaan amat kenyang dan berat kepala (mungkin tekanan darah naik).

Acara makan tidak terhenti setakat itu. Insya Allah pada malam ini aku akan keluar dengan adik bongsu aku Jer yang bekerja di KL. Bila dia pulang ke kampung pasti malah wajib akan mengajak aku untuk mencari sup belut. Sup belut kegemarannya ialah di kedai makan di Demit, Kubang Kerian dekat Petronas. OK la juga kerana sup belut banyak khasiat dan baik untuk kesihatan.

Semoga sup belut ini dapat menyihatkan tubuh dan menghilangkan 'berat kepala' yang menimpa aku sehari dua ini...Insya Allah dengan izin Allah Ta'ala.

Update : alhamdulillah baru pulang dari menikmati hidangan sup belut di Demit, Kubang Kerian. Terasa ringan sikit tubuh dan selesa.

Jer sempat bergambar sebelum 'membelasah' sup kegemarannya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share