17 Mei, 2011

Larangan Memperkecil Nilai Sedekah




Muhammad Hanief Awang Yahaya

Orang yang beriman apabila dia melihat orang lain melakukan amal kebaikan dia juga tergerak untuk melakukan perkara yang sama, atau dia cuba memberikan pertolongan setakat yang dia terdaya, walaupun dengan ucapan sahaja atau memberikan pujian.

Tetapi ada juga yang bersikap negatif iaitu dia menyindir, mencebik orang yang melakukan kebaikan. Dia merendahkan nilai kebaikan yang dilakukan oleh orang lain. Ini jelas merupakan sifat nifaq yang membahayakan tuannya.

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ آيَةُ الصَّدَقَةِ كُنَّا نُحَامِلُ فَجَاءَ رَجُلٌ فَتَصَدَّقَ بِشَيْءٍ كَثِيرٍ فَقَالُوا مُرَائِي وَجَاءَ رَجُلٌ فَتَصَدَّقَ بِصَاعٍ فَقَالُوا إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنْ صَاعِ هَذَا فَنَزَلَتْ { الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ } الْآيَةَ

Dari Abu Mas’ud katanya, pada masa diturunkan ayat tentang sedekah kami bekerja dengan mengambil upah mengangkut barang lalu seorang lelaki bersedekah dengan harta yang banyak. Mereka berkata: “Dia seorang yang riya`. Seorang lelaki lain pula datang lalu bersedekah dengan segantang makanan lalu mereka berkata, sesungguhnya Allah Maha Kaya tidak memerlukan segantang ini. Maka turunlah ayat yang maksudnya: [ orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.] (Surah al-Tawbah: 79).[Imam al-Bukhari dan Muslim]


Hadis ini jelas menunjukkan kesungguhan sahabat untuk menyahut seruan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. supaya membelanjakan harta di jalan Allah. Mereka sanggup bekerja susah payah untuk mendapat upah dan berkorban untuk jalan Allah walaupun hasil upah yang diperolehi sangat sedikit jika dinisbahkan kepada keperluan hidup mereka.

Peringatan keras terhadap sesiapa yang mencemuh orang-orang Islam dan kebaikan yang dikerjakan oleh mereka sama ada banyak atau sedikit. Oleh itu, wajib baik sangka terhadap orang lain dan haram bersangka buruk terhadap mereka kerana ia membawa kepada perbalahan dan permusuhan, kebencian dan dosa besar. Bersangka buruk terhadap orang lain termasuk dalam sifat dan amalan orang munafiq. Ini yang disifatkan oleh Allah s.w.t. tentang mereka dalam al-Qur`an.

Hendaklah orang Islam menyukai saudaranya itu memperolehi kebaikan seperti dia memperolehinya untuk dirinya sendiri. Janganlah orang Islam memperlekeh usaha orang lain walaupun sedikit atau kecil pada pandangannya. Boleh jadi sedekah seringgit itu lebih utama dari sedekah beratus ribu. Hal ini sama ada kerana niat ikhlas orang yang bersedekah atau hanya itu sahaja wang yang dimilikinya.

Seseorang itu tidak boleh menghukum niat orang lain sedangkan hakikat niat itu hanya diketahui oleh Allah s.w.t.

Di antara sifat orang Islam ialah memberi dorongan kepada orang lain supaya terus melakukan kebaikan dan ini membantu kepada tersebarnya kebaikan di kalangan masyarakat. Sebaliknya memperlekeh orang lain menyebabkan terhentinya amal kebaikan. Jika tidak dapat melakukan kebaikan maka hendaklah menjaga diri dari mengganggu orang lain.

Hadis lain yang berkait dengan hadis di atas ialah:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dhar katanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya: “Janganlah sekali-kali kamu memandang lekeh kepada kebaikan walaupun kamu bersua muka dengan saudaramu dengan wajah yang manis. (Muslim, no: 2626)

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share