17 Februari, 2011
Bantulah Saudaramu, Allah Akan Membantumu!
AbuAqil Adnan
Sungguh janggal dan pelik bila melihat ada golongan yang didatangi oleh individu yang memerlukan bantuan namun dia tidak membantunya sedangkan dia boleh menolong orang tersebut. Apakah dia sendiri tidak pernah memerlukan bantuan orang lain dalam hidupnya?.
Sikap enggan menolong orang lain tidak lain tidak bukan melainkan kerana mementingkan diri sendiri, sombong, angkuh dan jahil dengan agama.
Sungguh rugi bagi sesiapa yang enggan menolong orang lain walau pun dia mampu berbuat demikian. Rasulullah saw dalam satu hadis sahih menjelaskan beberapa tanggungjawab sesama muslim serta keutamaannya yang besar.
Dari Abu Hurairah r.a Nabi saw bersabda :
“Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya. ( Imam Muslim)
Hadis ini menerangkan beberapa kewajipan terhadap orang lain iaitu :
1- Sesiapa yang menyelesaikan masalah orang lain akan dibalas oleh Allah dengan diselesaikan masalahnya di akhirat.
2- Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain,Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.
3- Sesiapa yang menutup keaiban orang lain dan tidak menghebahkannya,Allah akan menutup keaibannya di dunia di akhirat.
4- sesiapa yang menolong saudaranya akan mendapat pertolongan Allah setiap masa.
Apa lagi alasan untuk kita tidak melaksanakan kewajipan di atas? Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah yang daif amat-amat memerlukan urusan kita dibereskan di kehidupan akhirat kelak. Begitu juga agar keaiban diri kita ditutup oleh Allah. Tiada siapa yang dapat membantu dan menyelesaikan semua urusan kita di akhirat melainkan Allah SWT.
Untuk mendapat jaminan tersebut kita hendaklah berbakti kepada saudara kita yang memerlukan. Bantulah sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Bantulah sekadar kemampuan yang ada.
Jangan kecewakan mereka, jangan pentingkan diri sendiri, jangan bersikap sombong dan angkuh. Anda akan rugi di dunia di akhirat. Mungkin hari ini mereka memerlukan bantuan, entah satu masa nanti kita pula akan memerlukan bantuan tersebut.
Semoga Allah menjadikan kita semua hambaNya yang cenderung untuk menolong orang lain dengan ikhlas. Memadailah keredaan Allah dan jaminan selamat di akhirat menjadi impian dan cita-cita kita.
0 comments:
Catat Ulasan