15 Januari, 2011

Percaya Sial Amalan Syirik



Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

KEHIDUPAN manusia semakin maju, moden serta serba membangun tetapi masih ada tinggalan zaman jahiliah yang diamalkan dan dipercayai. Seharusnya perkara mempercayai sial terhadap sesuatu dikikis dalam sanubari setiap mukmin yang beriman. 

Ada segolongan begitu kuat percaya dan yakin terhadap sial angka atau nombor. Mereka akan cuba sedaya upaya menghindari menggunakan nombor itu. Sebaliknya memilih nombor lain dengan keyakinan ia akan memberi tuah, keselamatan dan kemakmuran.

Ada juga taksub dengan kepercayaan akibat sering terjadi kemalangan, maka terus dibuat persepsi jalan atau lokasi itu sebagai sial serta mengundang bahaya berulang. Demikian kepercayaan segelintir masyarakat yang masih tebal dengan ketaksuban terhadap sial.


Sesungguhnya, tidak ada unsur sial dalam Islam. Semua kejadian tertakluk kepada ketentuan Allah. Segala sesuatu kejadian menimpa manusia atau pada alam ini dengan izin Allah. Justeru, apabila seseorang masih mempercayai ada unsur lain mendatangkan musibah atau keuntungan maka terpesong akidahnya dan menjadi syirik.

Islam memandu umatnya dengan konsep lebih baik dan sempurna iaitu tawakal. Apapun yang kita lakukan, mesti bergerak atas dasar bertawakal sebulat hati kepada Allah kerana hanya Allah menentukan baik atau buruk keputusan serta kesudahan apa yang kita laksanakan.

Kita mesti menyandarkan hati dan bergantung harap kepada Allah saja sehingga tidak timbul sebarang kekhuatiran.

Allah berfirman bermaksud: “Kemudian, apabila kamu sudah membulatkan tekad, maka bertawakal kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 159) Sahl bin Abdullah ada berpesan: “Barang siapa ada cacat dalam gerakannya bererti ada cacat dalam pelaksanaan sunnah dan barang siapa ada cacat dalam tawakal, bererti ada cacat dalam iman.”

Yahya bin Mu’adz suatu ketika pernah ditanya: “Bilakah seseorang itu dapat disebut sebagai orang bertawakal?” Yahya mengatakan: “Jika dia reda terhadap Allah sebagai pelindungnya.”

Tawakal mencerminkan sikap seseorang mukmin yang menyerahkan sepenuhnya kepada Allah selepas dia berusaha dan berikhtiar.

Kata Abu Naser al-Sarraj, tawakal ialah mengabdikan jasad untuk beribadah, mengatakan hati kepada Allah dan bersikap tenang dalam mencari keperluan, jika ia mendapat ia bersyukur tetapi jika tidak mendapat dia bersabar.

Kita seharusnya ingat bahawa hanya Allah yang mampu membantu dan keyakinan ini tidak wajar dicampur aduk dengan keyakinan kepada unsur lain yang tidak berkuasa apa-apa terhadap sesuatu.

Firman Allah bermaksud: “Jika Allah menolong kamu, tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu dan jika Tuhan membiarkan kamu, siapakah yang dapat menolong kamu selain Allah? Hanya kepada Allah hendaklah orang yang beriman itu bertawakal.” (Surah Ali-Imran, ayat 160)

Bertawakal sepenuh hati kepada Allah selepas segala usaha dilakukan membuat seseorang itu berasa tenang jiwa dan tidak tertekan perasaan. Imam Khalfid Ibnu Abi Dunya mengatakan, sikap tawakal sikap yang boleh menghalau syaitan.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang berucap ketika keluar dari rumah dengan Asma Allah, “Aku bertawakal kepada Allah dan tiada daya dan kekuatan kecuali milik Allah,” maka dikatakan kepadanya, kamu diberi petunjuk, dipelihara dan dicukupi. Lalu syaitan berkata kepada syaitan lainnya, “Bagaimana caramu menghadapi orang diberi petunjuk, dicukupi dan dipelihara.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Orang yang bertawakal mempunyai perasaan aman tenteram dan situasi hati begini menghilangkan rasa was-was atau berprasangka buruk terhadap sesuatu kejadian yang menimpa. Oleh itu, selagi percaya kepada unsur, maka selagi itulah iman tidak bulat kepada Allah sebagai penentu segala-galanya.

Konsep sial lumrah dipercayai pada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam, namun Rasulullah berjaya membasminya dengan berkesan. Namun, kini saki baki unsur jahiliah yang memesong akidah dan berunsurkan syirik masih terus terpahat dalam segelintir umat Islam.

Sebagai mukmin yang beriman kita sewajarnya mengelakkan diri daripada mempercayai kepercayaan karut adanya sial sesuatu benda yang menghakis iman kita. Tanam kukuh amalan bertawakal kepada Allah supaya kehidupan menjadi aman, tenteram dan diberkati. 

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share