02 Januari, 2011
Pemuda Argentina Temukan Islam Melalui Lirik Lagu Arab
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KISAH dari negara Amerika Latin, Argentina ini tidak kurang menarik juga kalau kita kongsi pengalaman seorang saudara baru dari sana.
Pengalaman yang dilalui Mariano Ricardo Calle sepanjang usahanya untuk bergelar Muslim banyak memberikan kita pengajaran yang berguna.
Terutamanya apabila beliau tewas kepada dadah tetapi dek kerana Islam, ketagihan itu dapat ditewaskan kembali.
Berasal dari Buenos Aires, Mariano dibesarkan dalam pegangan agama Kristian yang sangat kuat. Sejak usianya tujuh tahun, beliau mula membaca kitab Injil dalam Bahasa Sepanyol. Ini membuatkan beliau memandang Nabi Allah Daud, Nuh dan Yaacob sebagai hero.
Namun di awal usia remaja, jiwanya mula memberontak.
Tetapi yang menariknya beliau memberontak bukan sahaja kerana hendak kenal tuhan tetapi ingin mendekati tuhan.Sungguh berbeza dari yang lazimnya bagi seorang remaja.
Mariano selalu berdoa kepada tuhan, malah ada ketika beliau menangis ketika berdoa.
Namun akibat terlalu ingin mencari kebenaran akhirnya membawa padah.
Beliau tewas pada dadah dan terus menagih najis itu sehingga memasuki usia 24 tahun.
Menyedari dadah langsung tidak memberikan apa-apa faedah dalam hidupnya, Mariano kembali semula kepada tuhan dengan kali ini dengan cara yang lebih agresif.
Dalam tempoh 24 jam, beliau akan berdoa dan terus berdoa tidak henti-henti. Keadaan seperti itu berlarutan selama setahun, tetapi kebenaran yang dicari masih tidak juga ditemui.
Sehinggalah pada awal tahun 2006, Mariano mula membaca kerana sangat tertarik sejarah purba kaum Mayan, misteri kerajaan Atlantis dan kehebatan piramid Kufu (sejarah Mesir Purba).
Pada masa sama, Mariano menaruh minat untuk mempelajari bahasa Arab.
"Ketika itu ia semata-mata untuk memahami bahasa dari lirik-lirik lagu Arab yang kian menjadi kegemaran saya ketika itu," katanya.
Mariano mempelajari bahasa itu sendiri, terutamanya melalui Internet. Hasilnya, dalam tempoh dua minggu sahaja, beliau mula mahir untuk berbahasa Arab.
Apabila menjalani ujian untuk memasuki kelas bahasa Arab di kolejnya, Mariano terus dinaikkan ke Tahap Kedua.
Dalam tempoh empat bulan kemudian beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Apabila ibunya sendiri menghadiahkan dua buah buku mengenai Islam, ia menjadi detik mula bagi Mariano untuk mengenali agama itu dan subjek mengenai sains yang banyak disebut dalam al-Quran menjadi daya tarikan utama kepadanya untuk kenal Islam lebih dekat.
"Namun apabila membaca perjuangan Nabi Muhammad terus saya merasakan bahawa baginda adalah model terbaik untuk saya contohi," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan