KUALA LUMPUR: “Penggunaan Internet yang tidak dikawal oleh ibu bapa bakal membinasakan anak. Laman sosial kini memberi lebih banyak impak negatif kepada golongan remaja jika tidak dipantau,” kata Panel Sosial, Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia, Dr Mastura Badzis.
Menurut Mastura, penularan pelbagai gejala kurang sihat menerusi Internet dan rangkaian televisyen turut menjadi faktor wujudnya golongan homoseksual seperti lesbian dan gay.
Malah, katanya, pendidikan awal untuk remaja menjadi agenda penting dalam mendidik peribadi golongan itu.
“Kebanyakan ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan Internet tanpa had dan kawalan. Selain itu, ramai tidak memantau rancangan televisyen ditonton mereka,” katanya.
“Sedikit sebanyak, ia menjadi faktor golongan remaja sering terpedaya dan kemudian terjerumus ke dalam masalah itu. Kemudian, bila mula menular ia sukar dibendung,” katanya.
Menurutnya, selain ibu bapa, peranan masyarakat penting dalam memastikan Internet tidak disalahguna.
Wujudnya pelbagai ‘kelab’ kurang sihat, antaranya kelab lesbian, menunjukkan masyarakat tidak memandang penting perkara itu.
“Semuanya perlu memainkan peranan. Jika diharap ibu bapa saja tetapi masyarakat hanya buat endah tidak endah, masalah sama pasti tidak akan selesai. Lagipun, banyak perkara boleh membuatkan remaja perempuan memilih ‘lesbian’ sebagai jalan penyelesaian.
“Ada juga yang ‘berpaling tadah’ daripada lumrah kehidupan dengan memilih kehidupan songsang seperti itu. Antaranya kecewa dengan lelaki, tidak mempercayai golongan itu dan terpengaruh dengan rakan.
“Walaupun ia bukan perkara baru dalam masyarakat kita, ia masih boleh dibendung. Cuma, caranya perlu sesuai. Jangan sesekali gunakan kekerasan, sebaliknya lebih menjurus kepada psikologi serta memahami masalah sebenar dialami mereka,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan