10 Disember, 2010

Alhamdulillah, Dunia Telah Menjadi Milikku



Teratak kecil tempat aku sekeluarga berteduh


AbuAqilAdnan

Semasa merayau-rayau di laman-laman ilmu di internet , terbaca satu hadis Nabi saw yang  menarik perhatianku. Hadisnya cukup ringkas tetapi ia menerangkan nikmat kehidupan yang sebenar. Hadis ini mengajar kita bersifat qana’ah, berpada dengan apa yang ada dan mensyukuri limpahan nikmat dari Allah al-Rahman. Hadis tersebut bermaksud :

Barangsiapa di antara kamu merasa aman dengan tempat tinggalnya, diberikan kesihatan badan dan diberi makanan untuk hari itu, maka seolah-olah dia telah memiliki dunia seluruhnya.” ( Imam Tirmizi, hasan)


Itulah ajaran Islam. Hadapi kehidupan dengan mudah, tenang, berpada, tidak tamak dan tanpa tekanan. Sesiapa yang mempunyai tempat tinggal yang selesa, tubuh badan yang sihat dan terdapat makanan untuk dimakan oleh ahli keluarga maka itulah kehidupan yang sebenar. Sehingga Rasulullah saw mengibaratkan seperti telah memiliki dunia seluruhnya.

Alhamdulillah…semuanya telah kita miliki. Nikmat tempat tinggal yang selesa walaupun tidak semewah orang lain. Nikmat kesihatan yang berpanjangan. Amat jarang kita diuji dengan sakit demam. Setiap hari kita mempunyai rezeki untuk dimakan. Malah belum pernah putus bekalan untuk dimakan setiap hari. Semua itu adalah nikmat Allah yang besar.

Bukan semua manusia mendapat nikmat tersebut. Entah berapa ramai mereka yang tiada tempat berteduh hanya menumpang teduh di bawah jambatan, menumpang rumah saudara dan sebagainya. Ramai juga yang mempunyai tempat tinggal yang mewah tetapi ditimpa penyakit kronik sama ada jantung, kencing manis, kanser, darah tinggi, angin ahmar yang menyebabkan hidup mereka tiada nikmat. Wang berjuta-juta tetapi makanan lebih banyak pantang daripada yang boleh dimakan. Ramai juga golongan fakir miskin yang terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana ketiadaan rezeki. Mereka terpaksa meminta sedekah untuk mengalas perut. Golongan ini tidak dapat nikmat kehidupan yang sebenar sebagaimana hadis nabi saw.

Sedarlah…sekiranya ketiga-tiga nikmat iaitu tempat tinggal, sihat dan makanan dapat anda perolehi sebenarnya anda telah memiliki nikmat kehidupan yang sebenar. Bersyukurlah seadanya kepada Allah. Tidak perlu anda berdukacita dan kecewa bila melihat kemewahan dan kekayaan yang ada pada orang lain kerana sebenarnya dunia telah menjadi milik anda.

4 comments:

Unknown berkata...

alhamdulillah....bersykr dapat smua 2..

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

alhamdulillah azana..smg Allah menambahkan nikmatnya kpd kita semua

HijabRockers berkata...

Aisehhhh....mcm sedih la plak baca ni. Memang manusia susah nk bersyukur. Mekasih ustaz tulis ni sbg ingatan. Alhamdulillah...

abuaqil berkata...

sama2 hijabrockers...tu utk peringatan kpd diri saya sendiri agar jgn leka,tamak

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share