29 November, 2010

Setelah Genap Setahun Berblog…




Beginilah rupa penampilan blog ini pada mula-mula dahulu.
AbuAqil Adnan

Tanpa disedari pada 22 November lepas blog ‘laman ilmu @ tips belajar’ ( LITB) genap setahun aku berblog menggunakan platform blogspot. Sungguh pantas masa lalu. Sehingga hari ini 29 November 2010 aku telah post sebanyak 721 entri termasuk yang  diambil dari pelbagai sumber. Ada artikel yang dikarang sendiri, ada yang diambil dari blog-blog lain, ada keratan-keratan akhbar dan lain-lain. Asasnya ialah berkaitan dengan al-din. Penyelamat manusia dunia dan akhirat.

Sebelum ini aku pernah berblog dengan menggunakan domain berbayar iaitu blog pqs.ceria.my. namun hanya sempat setahun sahaja kerana keinginan diri ini untuk menguruskan satu blog tanpa bergantung kepada orang lain. Hasil dari ketekunan belajar dengan sendiri melalui panduan-panduan blogger yang banyak terdapat di internet ini akhirnya mampu membina blog sendiri walaupun tidaklah semahir manapun. Kekuatan ialah’ nak seribu daya,tak nak seribu dalih’.

Berblog bukan tujuan lain melainkan untuk berkongsi ilmu terutama untuk membantu pelajar-pelajar yang mengambil kertas B.Arab PMR dengan tips-tips dan tutorial yang disediakan. Tujuan utama juga ialah menjadikan blog LITB ini sebagai medium dakwah sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang insan yang bergelar muslim. Adalah juga secebis sumbangan dari diri ini yang serba daif ini terhadap agamanya yang dicintai. Ya Allah, inilah sahaja yang mampu aku sumbangkan untuk agamaMu. Terimalah ini semua sebagai amal solehku di akhirat kelak.

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kerana dapat istiqamah meng’update’blog ini dari semasa ke semasa sehingga mencecah bilangan 720 lebih entri dalam masa setahun walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pendidik. Kesibukan bukanlah alasan untuk meluangkan masa berkongsi ilmu agama di alam maya ini.

Berbanyak terima kasih kepada semua pengunjung kerana sudi mengutip ilmu di laman ini sama ada anda adalah anak didik ustaz, sahabat-sahabat, rakan-rakan di FB, blogger-blogger atau sesiapa sahaja yang sempat menjengok laman yang tidak seberapa ini. Tanpa kehadiran anda, blog ini tiada makna.

Semoga blog LITB ini akan terus ‘hidup’ dan mampu menyumbang perkongsian ilmu untuk kebaikan semua pengunjung sama ada untuk kebaikan dunia atau  kebaikan akhirat. Aku memohon kekuatan dan petunjukMu ya Allah agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, ilham yang bernas dan masa yang berkat untuk meneruskan usaha murni ini, untuk memartabatkan ilmu agama melalui alam maya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share