21 Oktober, 2010

Ya Allah…Sukarnya Mendidik Agar Menjadi Insan Soleh




AbuAqil

Tiada perkara yang lebih menyedihkan, mengecewakan dan memeritkan daripada melihat anak-anak didik yang diajar, dibimbing, dinasihati dan diambil berat sekian lama terlibat dengan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui perasaan  bila berdepan dengan situasi ini. Itulah perasaan seorang  ‘Murabbi’. Seorang yang berusaha dengan segala kudrat yang ada untuk membimbing anak didik agar menjadi insan bertakwa dan soleh.

Entahlah di mana silap dengan generasi masa kini. Kecenderungan mereka untuk melakukan kemungkaran sangat mudah berbanding utntuk melaksanakan amal kebaikan. Apa yang kita suruh mereka abaikan dan apa yang kita larang, itulah yang mereka lakukan.


 Inna lillah wa inna ilaihi raaji’uun. Tiada musibah yang lebih besar daripada kecenderungan anak Adam menjejaki jejak  langkah syaitan dan bertuhankan hawa nafsu.

Sekiranya mereka gagal mendapat keputusan cemerlang  dalam subjek tertentu, tidaklah terlalu mengecewakan. Namun sekiranya mereka terlibat dengan perbuatan tidak bermoral, seorang murabbi pasti akan sangat-sangat kecewa, kesal dan sakit hati. Dia akan menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal mendidik mereka agar menjadi insan soleh dan solehah.

Dia akan rasa bersalah sepanjang masa dan bimbang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat nanti kerana gagal mendidik dan menjadikan anak-anak didiknya insan bertakwa. Apa yang mampu dilakukan ialah menggeleng-geleng kepala mengingatkan ‘balasan baik’ dari anak-anak didiknya. ‘Jasa baik’ anak didiknya itu pasti akan diingati sampai bila-bila.

 Apalah ertinya hanya cemerlang akademik tapi dari segi moralnya ‘runtuh’. Sedikitpun tidak membanggakan seorang murabbi . cemerlang sahsiah lebih diharapkan walaupun akademik tidak seberapa. Kerana moral dan sahsiahlah akan menjamin kebahagiaan seseorang itu di kehidupan dunia dan kehidupan akhirat.

Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar!

Apa lagi yang mampu dilakukan ya Allah. Segala kudrat, usaha dan kemampuan telah dicurahkan untuk membimbing mereka. Hanya kepadaMu  diabdikan diri ya Allah dan hanya kepadaMu dipohon pertolongan. Semua kebaikan datangnya dariMu  yang Maha  Pemurah dan Penyayang dan segala keburukan adalah dari kelemahan si murabbi ini. Permohonan dengan penuh harapan ini agar jangan dipersalahkan hambaMu yang lemah ini di akhirat kelak. Jangan sekali-kali ya Allah. Aku menyerahkan segala urusanku kepadaMu ya Allah, urusan dunia dan urusan akhirat…Amin ya Rabbal alamin.


1 comments:

Tanpa Nama berkata...

jgn terlalu bersedih ustaz..
mgkin jg sebahagian drpd ujian dr Allah..psti ada hikmahnya..
dan jgn berputus asa..
masih ad anak didik ustaz yg mengingati ajaran ustaz, mengamalkan apa yg ustaz ajar dan sntiasa mendoakan ustaz..smga ustaz trus berusaha menasihati mrk dan mendidik mrk untuk mendpt keredhaan Allah..

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share