12 Oktober, 2010

Setelah Tiga Tahun Mendidik Kalian…




 AbuAqil

Semalam merupakan kelas terakhir bagi tingkatan 3A 2010 setelah mendidik dan mengajar sejak anda mula-mula menjejak kaki ke di tingkatan satu. Pada hari Selasa nanti iaitu 12 Oktober 2010 anda semua akan menduduki  peperiksaan kertas Bahasa Arab PMR dengan format baru.

Kelas yang terakhir agak mengecewakan kerana masih ramai yang tiba lewat ke kelas dan ramai yang tidak membawa bahan seperti yang dipesan untuk diulangkaji buat kali yang terakhir. Amat-amat menyedihkan. 


‘Mood’ ustaz merudum dan bertukar menjadi buruk dan tidak bersemangat walaupun telah membuat persiapan dengan persembahan ‘power point’ sejak seminggu yang lalu.

Begitulah realiti kehidupan seorang guru. Dia sentiasa diuji dengan perilaku dan ragam anak-anak didiknya hingga ke saat akhir. Akibatnya, kelas berjalan dengan hambar dan amat-amat tidak menyeronokkan. Kesimpulan yang boleh ustaz buat ialah kelas terakhir itu merupakan kelas yang teruk ustaz hadapi dari segi mood dan semangat.

Namun demikian kalian tetap ‘istimewa’  bagi ustaz kerana tidak pernah ustaz mengajar selama tiga tahun berturut-turut kelas yang sama. Entahlah kenapa kalian semua amat dekat di hati ustaz berbanding kelas-kelas yang lain.

Memang diakui amat sukarnya untuk mengubah sikap manusia ke arah kebaikan dan betapa mudahnya mereka berubah ke arah keburukan.

Setelah tiga tahun ustaz mendidik anda, ustaz mengharapkan anda :

1-  Jadilah hamba Allah yang bertakwa, mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya.

2- Jaga Solat fardu, solat sunat, tilawah al-Quran setiap hari dan sentiasa berzikir.

3- Sentiasa bertaubat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Jadikannya sebagai amalan rutin anda.

4- Taati dan patuhi ibubapa, muliakan mereka, berbakti kepada mereka dan jangan sekali-kali menyakiti hati 
dan perasaan mereka.

5- Jangan lupa diri dan sombong dengan sesiapapun. Hormatilah setiap orang lebih-lebih lagi orang yang mendidik  anda.

6- Jangan sia-siakan waktu anda dengan perkara tidak berfaedah, jauhi cinta durjana@couple kerana ia akan membinasakan diri dan masa depan anda serta dicabut keberkatan hidup.

7- Sentiasa menjadikan agama ( al-Quran dan Sunnah ) sebagai panduan hidup dan merujuk kepadanya  sebelum melakukan sesuatu perkara.

8- Harapan terakhir ustaz ialah anda semua buktikan bahawa anda mampu memperolehi A  subjek Bahasa Arab nanti. Ustaz telah berikan yang terbaik untuk membantu anda semua. Melebihi apa yang ustaz lakukan pada calon-calon PMR pada tahun lepas.

Balaslah segala pengorbanan diri anda sendiri setelah penat lelah yang anda lalui, pengorbanan ibubapa anda dan pengorbanan seorang guru. Semoga keputusan yang anda perolehi kelak akan mengembirakan mereka semua.

Ketahuilah, ustaz sentiasa menganggap anda semua murid ustaz sampai bila-bila. Ustaz sentiasa mendoakan anda walaupun anda lupa mendoakan ustaz. Ustaz  bersedia membantu anda bila-bila masa anda perlukan bantuan ustaz.

Akhir kata, ustaz memohon keampunan Allah dan memohon beribu kemaafan di atas kesalahan dan kelemahan diri ustaz terhadap anda. Tiada sesiapa yang terlepas dari melakukan dosa.

Selamat menjawab kertas Bahasa Arab, buatlah yang terbaik.

3 comments:

nour-el are-in berkata...

ustz.......aasif a'la khoto'ii...=(

Abu Aqil Adnan berkata...

nour...anti la minal khatiaat ( awk x bersalah pon)

Abu Aqil Adnan berkata...

walau apa pun yang kalian lakukan,kalian tetap istimewa dihati ustaz...

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share