13 Oktober, 2010

Salahguna Internet: Wanita Pertama Didakwa





KLANG: Seorang pengurus pusat peranginan lima bintang di Bangi menjadi wanita pertama di negara ini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menggunakan Internet bagi meraih pendapatan menerusi penjualan kandungan bahan lucah.

Maslina Hashim, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Slamat Yahya.

Maslina didakwa menggunakan aplikasi Internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Perbuatannya itu dikesan Jabatan Kawal Selia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Cyberjaya, Sepang, dekat sini, jam 5.30 petang, 23 Jun tahun lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 233(2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman mengikut seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. Tertuduh juga berdepan dengan denda RM1,000 bagi setiap hari untuk kesalahan sama yang diteruskan selepas disabitkan.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya SKMK, Badius Zaman Ahmad hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Maslina tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan Maslina diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon ikat jamin RM10,000 kerana dakwaan terhadap tertuduh membabitkan jenayah serius selain berkait dengan kepentingan awam. Maslina adalah individu kedua yang dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 27 Mei lalu, kerani bank, Tajulzairi Tajuddin, 31, menjadi individu pertama dituduh mengikut seksyen itu.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share