31 Oktober, 2010

Jangan Pisahkan Diri Anda Dengan Agama




AbuAqil Adnan

Allah SWT Yang Maha Penyayang dan Pengasih telah memberikan kepada kita agamaNya untuk kebaikan diri kita. Tanpa agama manusia akan hidup dalam kesesatan dan  kegelapan.  Anda lihatlah sendiri di sekeliling anda manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup mereka. walaupun mereka hidup dalam kemewahan dunia, anak yang ramai, pangkat yang besar namun tiada ketenangan dan kebahagiaan dalam jiwa mereka. Kegelisahan, ketakutan dan ketidakcukupan sentiasa menyelubungi jiwa mereka. 

Namun amat silap bagi segelintir manusia yang menganggap agama adalah satu beban. Terpaksa solat fardu lima kali sehari, berpuasa sebulan dalam setahun, mesti mengeluarkan zakat, mesti bertudung litup menutup aurat dan kewajipan-kewajipan lain yang membebankan.

Sebenarnya semua kewajipan yang difardukan adalah untuk kebaikan hamba bukan untuk Allah. Dengan berwuduk, solat danpuasa sebenarnya adalah untuk membersihkan jiwa dari dosa-dosa yang dilakukan. Semua amalan yang Allah wajibkan adalah untuk kebaikan diri kita. Tiada satu pun kebaikan kembali kepada Allah. Maha suci Allah Yang Maha Kaya dari berhajat kepada makhlukNya.

Walau siapa pun anda, Jangan pisahkan diri anda dari agama. Sama ada  anda seorang pendidik, pelajar, doktor, peniaga, pegawai, buruh dan sebagainya anda perlu kepada agama. Agama bukan milik eksklusif orang yang berpendidikan agama sahaja. Agama adalah milik setiap individu.

 Sesiapa yang mengamalkan agama dia adalah individu yang berjaya dan beruntung walaupun dia seorang papa kedana tidak berharta dan berpangkat.  Malah sesiapa yang mengenepikan agama dia adalah manusia paling rugi dan malang walaupun pada zahirnya dia seorang yang berpengaruh, berkuasa, berharta, berpangkat dan disanjungi oleh satu dunia.

Tuntutlah ilmu agama kerana anda akan mendapat kebaikan. Itulah janji Allah dan RasulNya saw. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Sesiapa yang Allah hendaki  seseorang itu mendapat kebaikan maka Dia menjadikannya memahami ilmu agama ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengaitkan kebakan dengan memahami ilmu agama. Itulah hakikatnya. Ini kerana seseorang yang mempelajari ilmu agama sahaja akan mengetahui halal haram, hukum-hakam dan suruhan dan larangan  Allah. Maka dia akan mengikut tunjuk ajar dan bimbingan agama dalam melakukan sesuatu perkara. Maka dia berhak mendapat sanjungan kemuliaan di sini Allah SWT.

Sebaliknya, sesiapa yang jahil dengan agama pasti akan tergelincir dalam perbuatan syirik, kufur, fasik, dosa dan maksiat lantaran tidak mengetahui halal haram dan hukum-hakam agama. Semua aktiviti kehidupannya mengikut jejak langkah syaitan dan bertuhankan hawa nafsu…Na’uzubillah.

Oleh yang demikian, jangan pisahkan diri anda dari agama. Jangan ketepikan tunjuk ajar dan pimpinan agama kerana anda akan menemui jalan penyesalan yang tidak berkesudahan di akhirat kelak. Belajar dan dalamilah ilmu agama serta menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Dalam era serba canggih ini ilmu berada di hujung jari. Dengan kemudahan internet semua ilmu dapat diperolehi dengan amat senang. semuanya bergantung kepada diri anda. Ibarat kata pepatah ‘Nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

Kaitkanlah semua aktiviti hidup anda dengan agama. Kerana Islam merupakan satu cara hidup. Rasulullah saw menjadi teladan kepada kita dengan memberi tunjuk ajar cara-cara menjalani kehidupan berteraskan agama bermula bangun tidur pada waktu pagi sehingga ingin tidur semula pada waktu malam. Inilah  kesempurnaan Islam yang tiada pada agama lain.

Tidak kira siapakah anda, agama mesti diamalkan tanpa pilihan. Agama mesti dijunjung tanpa alasan. Tanpa agama kita akan binasa. Tanpa agama tiada ketenangan jiwa. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua agar mendapat kekuatan untuk mendalami ilmu agamaNya tanpa jemu dan bosan.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share