15 September, 2010

Perkara yang menghalang Masuk Syurga



 Abuaqil Adnan

Setiap insan pastinya bercita-cita untuk masuk syurga. Kerana itulah apa yang kita perjuangkan di dunia ini dengan mentaati Allah dan menghindari laranganNya, melawan hawa nafsu dan godaan syaitan yang cenderung menyuruh kepada dosa. Namun diingatkan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari agat kita tidak dihalang dari memasuki syurga Allah kelak iaitu ;
1. Syirik (menyekutukan ) Allah dengan sesuatu

Kita semampu mungkin hendaklah menjauhi sebarang syirik di hati kita sama ada syirik besar mahu pun syirik kecil kerana perkara inilah penghalang utama seseorang masuk syurga. Tiada tempat di syurga untuk mereka yang menyekutukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun (Surah al-Maidah:72).

Nabi saw bersabda : Sesungguhnya sesiapa yang mati dari kalangan umatku yang tidak melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu akan masuk syurga.

 Aku bertanya : Ya Rasulullah saw, kalau dia berzina, kalau dia mencuri?.

 Nabi saw bersabda : walaupun dia berzina, walaupun dia mencuri.( Imam al-Bukhari)

Antara syirik kecil ialah riya’ iaitu melakukan sesuatu ibadat untuk diperlihatkan kepada orang lain. Sabda rasulullah saw :
Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Sahabat bertanya: “apakah syirik yang kecil itu ya Rasulullah?”. Rasulullah menjawab: “Riya” (HR. Ahmad).
Termasuk syirik kepada Allah juga ialah mempercayai bomoh yang syirik, ramalan-ramalan nasib, percaya kepada tangkal azimat, sihir, jampi-jampi yang syirik, kepercayaan-kepercayaan yang tidak sesuai dengan aqidah Islam dan sebagainya.

2. Sombong

Kesombongan merupakan sifat yang sangat tercela, manusia yang sombong sebenarnya lupa hakikat kejadian dirinya iaitu dari tanah yang hina dan dipijak-pijak setiap masa. Iblis yang dihalau dari syurga adalah berpunca dari sikap sombong dengan kejadian dirinya. Kita dengan bermacam kelemahan hendaklah membuang sifat terkeji ini dari hati kita.
Allah Swt berfirman: Sesungguhnya orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri kepadanya, sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka masuk ke dalam syurga hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah kami memberi pembalasan kepada kepada orang-orang yang berbuat kejahatan (S al-A’raf:40).
Rasulullah saw bersabda :
Tidak masuk syurga orang yang di dalam hati ada kesombongan meskipun hanya sebiji sawi ( Imam Muslim).
 3. Memutuskan Silaturahim.

Setiap insan adalah bersaudara apatah lagi sesama muslim sebagaimana firman Allah yang bermaksud 
:Sesungguhnya orang-orang mukmin bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu.( surah al-Hujurat:10)
Ancaman terhadap sesiapa yang memutuskan silaturahim sebagaimana firman  swt berfirman dalam surat Ar-Ra’d ayat 25:
 “Orang-orang yang merosakkan janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).”
Hal ini ditegaskan pula oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana dalam hadits dari Abu Muhammad Jubair bin Muth’im, bahwa beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 “Tidak akan masuk surga, orang yang memutuskan.”
Sufyan Ats-Tsauri mengatakan dalam riwayatnya: “Maksudnya, orang yang memutuskan tali silaturahim.” (Imam Al-Bukhari dan Muslim)
4. Menolak Ajaran Rasulullah saw

Kita hendaklah menjunjung dan mengikuti ajaran Rasulullah saw kerana baginda saw lebih mengetahui apa yang diredai oleh Allah swt. Menolak ajaran dan sunnah Nabi saw bermaksud enggan memasuki syurga sebagaimana sabda baginda saw yang bermaksud :

“Seluruh umatku akan masuk syurga, kecuali sesiapa yang enggan.” Maka dikatakan: “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Beliau menjawab: “Barangsiapa yang mentaatiku maka dia pasti masuk syurga, sedangkan sesiapa yang mendurhakaiku maka sungguh dia telah enggan (masuk syurga).” (lmam al-Bukhari)

Demikianlah beberapa perkara yang mesti diambil perhatian agar kita tidak dihalang dari memasuki syurga. Semoga Allah merahmati dan menjaga kita daripada terlibat dengan perkara yang akan menghalang kita daripada memasuki syurgaNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share