15 September, 2010

Muhammad Adam Pergi Tidak Kembali



Saat arwah Muhammad Adam diturunkan di liang kubur 

Abuaqil Adnan

Ketika sedang mengemaskini blog pada pagi ini ( 15 Sept 2010) aku menerima satu panggilan dari adik perempuanku yang memaklumkan bahawa anak saudaraku telah meninggal dunia awal pagi tadi. Aku terpaku seketika dan bertanya berkali-kali adakah Muhammad Adam yang meninggal dunia untuk mengesahkannya. 

Tiba-tiba terbayang di kepalaku anak saudaraku itu yang lincah dan aktif, begitu gembira pada malam raya yang kedua lalu bermain bunga api bersama sepupu-sepupunya. Arwah merupakan anak yang ketiga daripada tiga adik beradik.


Airmataku mengalir setiap kali mengenangkan Adam walaupun tidaklah seakrab mana memandangkan arwah  jarang  pulang ke kampung kerana ibubapanya mencari rezeki di Johor. Aku terus menghubungi abangku untuk mengucapkan takziah dan bertanya khabar mengenainya.

Dia memaklumkan bahawa arwah hanyalah demam biasa bermula pada hari raya yang keempat dan mereka sekeluarga bertolak ke Johor pada pagi semalam ( Selasa). Namun tiba-tiba demamnya semakin teruk dan ‘luar biasa’ sehingga menyebabkan terpaksa dihantar ke hospital berhampiran iaitu Hospital Kemaman. 

Setelah doktor di situ gagal untuk menyelamatkannya, arwah terpaksa dihantar pula ke Hospital besar di Kuantan pada awal malam. Bapa arwah yang merupakan seorang doktor telah menjangkakan bahawa peluang arwah diselamatkan amat tipis.

Doktor dan staf di hospital Kuantan berusaha dengan sedaya-upaya untuk menyelamatkan arwah namun takdir ilahi mengatasi ikhtiar manusia. Arwah kembali ke rahmatullah pada pukul 4.50 pagi ( Rabu-15 Sept 2010).

Ibu arwah yang sememangnya amat rapat dengan arwah dan tidak pernah berenggang dengannya seolah-olah tidak dapat menerima kehilangan anak manjanya pada awal-awal dimaklumkan. Reaksinya ialah :” Adam sihat! Adam sihat!”. Perkataan itulah yang diulang-ulang dalam keadaan kebingungan beberapa ketika, kata bapa arwah.

Jenazah arwah terpaksa dihantar pulang dengan kereta jenazah ke Kg Wakaf Stan, Kubang Kerian kerana si ibu tidak mampu untuk meribanya dan beberapa kali jatuh pengsan bila melihat arwah. Jenazah tiba lebih kurang pukul 1.30 petang. Aku tiba bersama ibu, adik lelaki dan adik perempuan bersama suaminya pada pukul 2.00 petang. Kami disambut oleh bapa arwah dengan wajah yang pilu dan sugul.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bapa arwah kelihatan stabil dan boleh mengawal perasaannya tetapi si ibu amat letih dan tidak bermaya serta beberapa kali rebah pengsan. Tidak sanggup untuk menyaksikan suasana yang sangat menyayat hati itu. Hanya Allah yang mengetahui perasaan seorang ibu bila kehilangan anak.

Tidak berapa lama kemudian semua adik-beradik dan keluarga terdekat tiba untuk memberi sokongan kepada ibu bapa arwah.

Aku sempat mengucup dahi arwah sebelum disembahyangkan. Sungguh sedih dan pilu perasaanku, airmata tidak mampu lagi ditahan. Aku menangis  teresak-esak. Tiada lagi anak saudaraku yang comel, cergas dan lincah.

Jenazah arwah selesai dikebumikan pada pukul 4.00 petang di tanah perkuburan berdekatan.
Abang ( Muhammad Azam) dan kakak ( Nurul iman) arwah tiada reaksi sedih dan bermain dengan sepupunya macam biasa. Itulah kelebihan menjadi kanak-kanak. tiada masalah yang melanda hidup mereka. Semuanya mudah dan senang bagi mereka.

Menerima ujian kehilangan insan tersayang secara mengejut amat-amat memeritkan. Bayangkan anak yang sihat,cergas dan lincah yang hanya demam biasa tiba-tiba meninggal dunia. Sungguh sedih dan pilu bila musibah seperti ini menimpa kita.

Kami menerima pemergian Muhammad Adam dengan reda. Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi hambaNya walau sedikit pun. Itulah yang terbaik untuk semua. Itulah yang terbaik untuk Muhammad Adam. Muhammad Adam sedang berada di taman syurga. Muhammad Adam pergi tidak kembali lagi.

Takziah kepada Abangku Dr. Azaki dan isteri. Ya Allah, tabahkanlah hati mereka dan berikanlah ganjaran yang terbaik di sisiMu untuk mereka.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share