02 September, 2011
Hanya Tambah Enam Hari Syawal Genap Puasa Setahun
Abu Aqil Adnan
Alhamdulillah kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang taat dengan menyempurnakan puasa Ramadan. Dalam kemeriahan menyambut 1 Syawal jangan dilupakan tawaran Allah untuk memberi ganjaran pahala seperti berpuasa setahun penuh hanya dengan menambah 6 hari puasa bulan Syawal.
Kita tidak mampu untuk berpuasa setahun penuh, namun Allah Yang Maha Penyayang kepada hambaNya menyediakan peluang ini yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.Sungguh besar ganjaran yang Allah bakal sediakan untuk mereka yang sentiasa berusaha untuk mengejar kebahagiaan akhirat.
Anjuran Puasa Enam Hari Pada Bulan Syawal
Dari sahabat Abu Ayyub Al Anshariy, beliau saw bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” ( Imam Muslim)
Pada hadis ini terdapat dalil tegas tentang dianjurkannya puasa enam hari di bulan Syawal dan pendapat inilah yang dipilih oleh madzhab Syafi’i, Ahmad dan Abu Daud serta yang sependapat dengan mereka.
Puasa Syawal, Puasa Seperti Setahun Penuh
Dari Tsauban, Rasulullah saw bersabda:
“Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Idul Fitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. [Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan seumpamanya].” (HR. Ibnu Majah dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Irwa’ul Gholil)
Berdasarkan hadis ini setiap satu amalan umat akhir zaman akan digandakan sepuluh. Maka bila kita berpuasa penuh pada bulan Ramadan iaitu 30 hari dan ditambah dengan enam hari pada bulan Syawal maka jumlahnya 36 hari. Didarab dengan sepuluh maka menjadi 360 hari.mengikut kalendar Hijrah setahun hanya lebih kurang 355 hari.
Inilah hikmah yang terkandung dalam hadis di atas iaitu seperti berpuasa selama setahun. Sungguh pemurah Allah SWT kepada hambaNya yang yang lemah.Segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmat ini bagi umat Islam.
Sememangnya tidak dinafikan puasa sunat pada bulan ini amat mencabar dan banyak halangan kerana pengaruh rakan-rakan yang tidak berpuasa, jemputan ke majlis kesyukuran, rumah terbuka dan macam-macam lagi ‘godaan’ agar tidak berpuasa. Namun bagi orang beriman itu semua tidak sepatutnya dijadikan alas an untuk meninggalkan amalan mulia ini.
Semoga Allah memberi petunjuk, kekuatan iman dan dipermudahkan kepada kita semua untuk menyempurnakan sunnah Rasulullah saw ini.
0 comments:
Catat Ulasan