26 Ogos, 2011

Aidilfitri lebih afdal jika ikut sunnah Rasulullah




Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Umat Islam perlu tahu bezakan ibadat atau sekadar adat turun temurun

UMAT Islam di ambang 1 Syawal menandakan kedatangan Aidilfitri dengan penuh rasa kegembiraan walaupun ada sebilangan kecil bersedih memikirkan nostalgia Ramadan yang akan ditinggalkan.

Masih ramai kalangan masyarakat Islam keliru status amalan ketika meraikan Aidilfitri sama ada perbuatan itu ibadat yang mendatangkan pahala atau sekadar adat diwarisi secara turun temurun.

Memakai pakaian paling cantik dan yang terbaik adalah tuntutan syarak serta amat digalakkan Rasulullah. Ia menjadi ibadat jika niat si pemakai untuk menjunjung panduan diberikan Rasulullah.

Baginda sendiri memakai pakaian yang terbaik dan paling cantik, malah menyarankan sahabat supaya berpakaian cantik seperti disebut cucu Baginda, Saidina Hassan: “Nabi memerintahkan kami di pagi raya supaya memakai pakaian paling baik yang kami miliki dan berwangian dengan wangian paling baik kami miliki.” 

 Imam Ibn Qayyim ada menyebut, di hari raya Nabi memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta hari Jumaat.

Bagaimanapun, perbuatan itu menjadi adat jika si pemakai membeli pakaian baru hanya sekadar mengikut aliran atau sebab orang lain turut memakai baju baru. Perkara dituntut adalah paling cantik dan setiap yang cantik itu tidak semestinya baru. Dibimbangi jika membeli pakaian baru dalam keadaan membazir dan berlebihan sedangkan pakaian sedia ada masih elok dan boleh digunakan.


Makan sedikit sebelum keluar mengerjakan solat sunat Aidilfitri termasuk dalam sunnah Baginda dan makanan pilihan Baginda ialah tamar. Saidina Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (3 atau 5 atau 7 biji).”

Menjamah makanan di pagi Aidilfitri adalah pernyataan bahawa diharamkan berpuasa pada hari itu. Mesej bersegera makan dan bersolat sunat Aidilfitri untuk mengelak orang Islam memikirkan mengenai puasa kerana itu adalah hari kegembiraan selepas sebulan menahan makan dan minum.

Sesiapa yang berpuasa pada hari itu dianggap menolak pelawaan dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya kerana orang Islam adalah tetamu Allah SWT pada hari penuh kemuliaan. Justeru, apabila seseorang terus keluar tanpa menjamah sedikit makanan, maka meninggalkan sunnah amalan Rasulullah.

Membayar zakat fitrah hukumnya wajib dan sesiapa meninggalkannya berdosa. Ia mesti ditunaikan sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Kelewatan membayarnya akan mengakibatkan ia tidak dikira sebagai zakat dan hanya dianggap sebagai sedekah.

Ibn Abbas menyebut: “Zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada lagha (perkara tidak berfaedah), keji dan sebagai pemberian makanan kepada orang miskin. Sesiapa menunaikan sebelum solat Aidilfitri, itu adalah zakat diterima di sisi Allah dan sesiapa menunaikan selepas solat, maka ia dianggap sebagai satu sedekah.”

Ada sesetengah umat Islam sengaja melambat-lambatkan bayaran zakat atas alasan masih awal atau sengaja menunggu pada saat-saat akhir, namun apa yang dibimbangi jika luput daripada waktu sepatutnya.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakad (sunat yang amat dituntut). Ia disyariatkan Allah SWT pada tahun pertama hijrah. Rasulullah sendiri keluar rumah untuk bersolat Aidilfitri bersama isteri Baginda.

Disunatkan juga keluar rumah ke masjid melalui jalan lain dan balik dengan jalan lain. Ini dinyatakan sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan Baginda setiap kali pergi dan balik daripada menunaikan solat itu.

Ada yang meringan-ringankan amalan ini atas alasan ia sekadar amalan sunat. Ada pula terlalu memberatkan sedangkan solat fardu lain tidak diambil berat, malah tidak pun diamalkan.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Ia mula dilaungkan selepas jelas terlihat anak bulan Syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri.

Galakan bertakbir disebut secara jelas dalam firman Allah SWT bermaksud:
“Hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertak-birlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepadamu, semoga kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)

Bertakbir dianggap amat penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah SWT atas kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan. Ia juga sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia kerana laungan takbir tetap sama walau di mana pun.

Menjadi tradisi masyarakat Melayu bersalaman dan bermaafan pada hari raya. Walaupun amalan memohon maaf sepatutnya berlaku sewaktu kedatangan Ramadan tetapi amalan itu tidak salah dilakukan pada Syawal.

Memohon kemaafan adalah lambang seorang manusia berhati mulia dan sanggup merendahkan egonya sementara yang memberi kemaafan termasuk golongan yang bertakwa dan akan mendapat keampunan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa. Iaitu orang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahannya, dan memaafkan kesalahan orang, dan ingatlah, Allah mengasihi orang berbuat perkara baik.” (Surah Ali Imran: 133-134)

Berhubung amalan menziarahi kubur, perlu difahami amalan ini tidak wajar dikhususkan sewaktu hari raya saja kerana jika dikhususkan dibimbangi amalan itu tidak dikira ibadah, bahkan menjadi adat walaupun jika benar caranya ia boleh dikira sebagai satu ibadat.

Daripada Buraidah al-Husaib al-Aslami berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia.” (Riwayat Muslim, Imam at-Tirmizi menambah, “kerana ziarah kubur itu mengingatkan kepada hari akhirat.”

Berlaku juga dalam masyarakat amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak. Ia akan menjadi ibadah jika niat si pemberi untuk bersedekah dan menggembirakan hati mereka yang menerima. Banyak ayat al-Quran memberi galakkan supaya sentiasa bersedekah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu.” (Surah al-Baqarah: 271)

Sehubungan itu, perlu difahami dalam erti kata yang sebenar apakah tuntutan syarak menyambut Aidilfitri. Sesungguhnya tidak salah bergembira tetapi biarlah dalam suasana penuh kesederhanaan dan bertepatan hukum Islam.

Aidilfitri adalah manifestasi kegembiraan umat Islam kerana: 

·  Dosa diampunkan selepas menjadi graduan cemerlang madrasah Ramadan.

·  Dapat membantu golongan kurang upaya dan tiada kemampuan seperti anak yatim, fakir, miskin dan yang melarat melalui pemberian zakat serta sedekah. 

·  Rahmat dan nikmat pemberian Allah SWT yang melimpah ruah. 

·  Berkumpulnya umat Islam saling bersalaman di rumah ibadat seperti surau dan masjid sambil bertakbir, bermaafan serta mendengar nasihat melalui khutbah Aidilfitri yang disampaikan.

·  Takbir bergema serentak di seluruh pelusuk kampung, bandar, negeri, negara dan dunia.


·  Berpeluang mengeratkan tali silaturahim dengan amalan ziarah menziarahi sesama keluarga, kaum kerabat, sanak saudara dan sahabat handai.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share