16 Ogos, 2010

Ramai Saudara Baru Menantikan Bulan Ramadan



LANGKAWI: Bulan Ramadan menjadi masa yang ditunggu-tunggu oleh ramai saudara baru di sini yang menganggap ibadat itu dapat membentuk keperibadian mulia umat Islam.
Safiah Abdullah, 38, dari Nagoya, Jepun yang memeluk Islam pada Februari 2009 sudah dua kali menunaikan kewajipan berpuasa seperti saudara seagama yang lain.
"Saya bertekad untuk mencukupkan sebulan berpuasa tahun ini...masuk tahun kedua selepas tahun lepas tidak sempurna kerana baru memeluk Islam," katanya ketika ditemui semasa mempelajari kelas Fardhu Ain, Al-Quran dan Iqra' anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Langkawi di Masjid Al Hana Kuah di sini.
Menurutnya beliau masih belajar untuk mendalami ilmu keIslaman termasuk Fardhu Ain, Iqra dan Al-Quran.
Seorang lagi saudara baru, Samsul Salam Abdullah, 57, yang memeluk Islam pada Jun 2008 berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk berpuasa.
Samsul Salam yang bekerja di sebuah hotel di sini berkata, beliau berazam untuk menunaikan puasa cukup sebulan dan yakin ibadat puasa berupaya menjadikan umat Islam lebih berpekerti mulia.
Noorhidayah Abdullah, 24, yang berasal dari Bangkok, Thailand berkata berpuasa bukan sahaja menahan lapar malah perlu tabah hati dan bersabar mengharunginya.
Beliau berminat dengan Islam sejak berumur 14 tahun ketika belajar di sekolah menengah di Ranau, Selatan Thailand apabila bergaul dengan sebahagian besar pelajar-pelajarnya beragama Islam.
Noorhidayah yang bekerja di Kota Mahsuri, Ulu Melaka di sini telah memeluk Islam hampir 10 tahun dan masih mendalami ilmu Islam menerusi kelas Fardhu Ain dan Al-Quran anjuran Perkim Langkawi.
Sementara itu, Pengerusi Perkim Langkawi Datuk Mansor Ismail berkata Perkim Langkawi mengadakan pelbagai aktiviti untuk saudara baru dan anggota Perkim serta orang ramai bagi meningkatkan kefahaman Islam termasuk kelas Fardhu Ain, Al-Quran dan Iqra' serta kelas bahasa Arab. - BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share