11 Ogos, 2010

Perbincangan Mengenai Sahur



Bersahur merupakan perkara sunnah bagi seseorang yang berpuasa. Namun sunnah ini diabaikan oleh segelintir manusia disebabkan kejahilan terhadap keutamaan dan hikmah bersahur. Berikut adalah perbincangan mengenai sahur.

1. Hikmah disyariatkan sahur

Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : ” Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan puasa ke atas kamu, sepertimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa ” [Al-Baqarah : 183]

Sesungguhnya telah difardukan ke atas muslimin ibadah puasa sepertimana difardukan ke atas ahli kitab dari segi hukum dan juga waktu ; jika seseorang itu tidur dan terjaga sebelum tibanya waktu subuh, dia tidak dibenarkan makan, minum serta mendatangi isteri hingga keesokan malam. Apabila perintah ini telah dinasakhkan, Rasulullah saw telah memerintahkan kaum muslimin bersahur untuk membezakan antara puasa muslimin dan puasa ahli kitab.


Dari ‘Amru bin Al-’As, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda :

[ فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر ]

Maksudnya : ” Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur “. [HR Muslim : 1096]

2. Kelebihan bersahur

a. Keberkatan pada makanan sahur

- Nabi r bersabda :

[ تسحروا فإن في السَحور بركة ]

Maksudnya : ” Bersahurlah, sesungguhnya, pada makanan sahur itu ada keberkatan ” [Al-
Bukhari : 1923, Muslim : 1095]

b. Allah dan para malaikat mendoakan orang yang bersahur

- Nabi r bersabda :

[ السَحور أكلة بركة فلا تدعوه ، ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء، فإن الله وملائكته يصلون على المتسحرين ]

Maksudnya : ” Makanan sahur itu berkat, maka jangan sekali-kali kamu meninggalkannya,
walaupun kamu meneguk seteguk air, sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mendoakan
mereka-mereka yang bersahur “. [HR Ahmad : 3/12 & 44[2], Ibnu Hibban : 3476]

3. Makanan yang terbaik untuk bersahur

Nabi r bersabda :

[ نعم سَحور المؤمن التمر ]

Maksudnya : ” Sebaik-baik makanan sahur mukmin itu adalah tamar ” [HR Abu Daud : 2345][3]
- Sekiranya tiada ada makanan, sudah kenyang atau tidak ingin makan, maka minumlah sekurang-
kurangnya seteguk air. Apakah kita tidak ingin keberkatan serta doa dari Allah serta para
malaikatnya? Ini berdasarkan hadis yang lalu di mana Nabi bersabda :

[ ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء ]

Maksudnya : ” Walaupun dengan meneguk seteguk air “. [HR Ahmad : 3/12 & 44, Ibnu Hibban :
3476]

4. Melewatkan bersahur

- Dari Anas, beliau meriwayatkan dari Zaid bin Thabit,  telah berkata :

[ تسحرنا مع النبي صلى الله عليه وسلم ثم قام إلى الصلاة. قلت : كم كان بين الأذان والسحور ؟ . قال : قدر خمسين آية ]

Maksudnya : ” Kami telah bersahur bersama dengan Nabi r, kemudian bangun untuk bersolat. Aku telah berkata (Anas) : Berapa lama tempoh antara azan dan bersahur ? Dia (Zaid) menjawab : Dengan kadar 50 ayat[4] (bacaan Al-Quran) ” [HR Al-Bukhari : 1821, Muslim : 1097]

- Al-Hafiz Ibnu Abdil Barr telah berkata : ” Hadis-hadis yang berkaitan dengan mempercepatkan
berbuka puasa dan melewatkan bersahur adalah mutawatir….. “[5]

- Sekiranya telah dikumandangkan azan, sedangkan minuman masih ditangan kita, apa yang perlu
dilakukan ?

Nabi r bersabda :

[ إذا سمع أحدكم النداء، و الإناء في يده، فلا يضعه حتى يقضي حاجته ]

Maksudnya : ” Apabila salah seorang dari kamu telah mendengar azan, sedangkan minuman masih ditangannya, maka janganlah dia meletakkan minuman tadi sebelum dia menunaikan hajatnya ” [Lihat Shahih Sunan Abi Daud : 2060]

5. Hukum bersahur[6]

- Dari hadis-hadis yang lalu, maka dapatlah kita simpulkan di sini bahawa, hukum bersahur adalah
sunnah mu’akkadah. Ini berdasar 3 qarinah :

1. Perintah Nabi r supaya bersahur. [تسحروا فإن في السَحور بركة]

2. Sahur membezakan antara puasa muslimin dan ahli kitab.[فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر]

3. Larangan Nabi r dari meninggalkan sahur. [السَحور أكلة بركة فلا تدعوه]

Semoga perbincangan ini membuka mata dan hati agar kita cenderung untuk mengamalkan sunnah nabi saw ini besar kelebihannya.


[1] Di sana ada perbezaan sebutan dan makna antara (السُحور : بضم السين) yang membawa makna ; perbuatan dan waktu, manakala (السَحور : بفتح السين    ) membawa makna : makanan yang dimakan ketika bersahur. Oleh kerana itu, penyusun menggunakan lafaz : SAHUR, bagi
perbuatan makan, dan SAHUR, bagi apa yang dimakan ketika bersahur, kerana lebih tepat penggunaannya dari sudut bahasa arab.
Sila lihat perkataan (سحر) dalam Lisaanul ‘Arab : 1/194. Wallahu’alam.
[2] Kata Muhaqqiq Musnad Ahmad, Sheikh Syuaib Al-Arnauth : Hadis ini adalah hadis shahih. Lihat Musnad Ahmad : 3/12 & 44.
[3] Sheikh Al-Albani menshahihkan hadis ini di dalam Shahih Sunan Abi Daud, no : 2055.
[4] Ibn Hajar dalam Fathul Bari :4/199, membawa kata-kata Anas dalam menafsirkan maksud “kadar 50 ayat” : iaitu bacaan yang
sederhana, tidak terlalu cepat, tidak terlalu lambat, tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.
[5] Lihat Fathul Bari, karangan Ibn Hajar Al-’Asqalaani : 4/199
[6] Ibn Hajar dalam Fathul Bari : 4/139, menaqalkan ijma’ pada sunnahnya bersahur. Wallahua’lam.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share