17 Ogos, 2010

Mengorek Telinga Atau Hidung Adakah Batal Puasa?




Berikutan ramai pertanyaan dan kemusykilan dari para pelajar mengenai hukum batalkah puasa kerana mengorek hidung atau telinga, di sini ustaz lampirkan beberapa jawapan atau fatwa berkaitan persoalan tersebut. Semoga bermanfaat untuk kita semua.


----------------

Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Antara yang berpendapat memasukkan sesuatu didalam rongga tidak membatalkan puasa adalah Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi (Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika Utara) dan ramai lagi.

Dalam membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:

Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.



Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh.


Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]

antara hadith lain


...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]



------------------------------


Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek telinga ketika berpuasa saya ingin menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:

Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk: http://www.islamonline.net ]



RUJUKAN : http://ibnuinsan.blogspot.com/2009/08/persiapan-ramadhan-korek-hidungtelinga.html
------------------------------

Soalan dan jawapan oleh ustaz Abu Umair
Soalan:
Batal kah puasa kalau kita korek hidung atau buang tahi telinga. Kalau masukkan air dlm hidung adalah sunat semasa mengambil wuduk, membuang najis dalam rongga pun dikira batal ke tidak? Ada tak dalilnya?
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mengeluarkan kotoran daripada hidung dan telinga tidak membatalkan puasa. Kerana ia bukan dikira makan dan minum, dan tidak boleh disamakan makna dengan makan dan minum.
Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’ juga tidak membatalkan puasa, tetapi janganlah berlebihan. Dalam hadis Laqit bin Shabirah:

Maksudnya: Berlebih-lebihlah dalam istinsyaq kecuali jika kamu berpuasa.
Direkod oleh Abu Daud (no: 142), Tirmizi (no: 788), Nasaie (no: 87) dan Ibn Majah (no: 407).
------------------------------
Soalan yang dikemukakan dan jawapan oleh Ustaz Azhar idrus.


Saya nak tanya adakah batal puasa seseorang itu jika dia memasukkkan sesuatu ke dalam rongga badan seperti mengorek telinga atau hidung?


JAWAPAN :


Menurut pendapat yang muktamad dikalangan fuqahak Syafie adalah tidak membatalkan puasa dengan sebab memasukkan suatu kedalam hidung atau telinga melainkan sampai kepada had batin.
Menurut satu pendapat had batin bagi hidung ialah melepasi tulang hidung dan had batin bagi telinga pula ialah sampai kepada gegendang telinga.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share