Dalam majlis ringkas di surau DIPN kira-kira jam 3.30 petang semalam, Mohd Elias atau nama sebenarnya T Munusamy tenang ketika mengucapkan dua kalimah syahadah serta ikrar sebagai saudara baru dipimpin Pegawai Dakwah Pejabat Kadi Pontian, Ustaz Zoolshuhaifi Hashim.
Baginya, dia memilih Islam sebagai pegangan hidup selepas tertarik dengan solat lima waktu terutama solat berjemaah serta ibadat lain seperti puasa.
“Bagi saya ada perkara yang menarik mengenai solat, setiap kali melihat umat Islam mengerjakannya, saya berasa sayu dan tenang.
“Di negara asal, saya tinggal di kalangan orang Islam menyebabkan perkara ini bukan sesuatu yang baru, tapi bersyukur kerana selepas sekian lama menyimpan hasrat, kini impian itu menjadi nyata.
“Banyak lagi yang perlu saya belajar, pastinya dugaan perlu ditempuhi amat mencabar lebih lagi terpaksa berpuasa dengan kehadiran Ramadan,” katanya.
Menurutnya, dia turut berterima kasih pada kakitangan DIPN berikutan banyak membantunya dalam mencapai impian bergelar saudara baru. Sebelum ditahan, Mohd Elias yang berasal dari Madras, India, mendakwa bekerja di sebuah kedai gunting rambut di Skudai secara sah, bagaimanapun mula menghadapi masalah apabila ditipu ejen menyebabkannya gagal memperbaharui dokumen kerjanya.
Sebelum ditahan, dia yang berkobar-kobar memeluk Islam, beberapa kali berjumpa jemaah di surau meminta bantuan dan nasihat, tetapi beberapa kali tertangguh atas sebab tidak dapat dielakkan.
Lebih malang apabila usahanya turut terbantut selepas dia dicekup polis kerana gagal menunjukkan permit kerja yang sah serta dihantar ke DIPN dan bakal diusir ke negara asal.
Sementara itu, Pegawai Imigresen Tinggi DIPN, Mohd Zulkiflee Satilo, berkata sebelum ini pihaknya pernah membantu seorang pendatang tanpa izin warga Kemboja ditahan di situ untuk memeluk Islam.
“Tapi selepas dinilai dan pemerhatian dijalankan kami mendapati Mohd Elias bersungguh-sungguh ingin memeluk Islam. Oleh itu kami terpanggil untuk membantunya,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan