31 Ogos, 2010

Berdusta Terhadap Nabi Atau Berdusta ‘Untuk’ Nabi?




Bismillah ar-Rahmaan ar-Raheem.

Sabda Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api Neraka”

Hadith di atas diriwayatkan oleh lebih 70 sahabat secara langsung dari Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan ia merupakan contoh paling tepat berkenaan dengan Hadith Mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi dengan jumlah yang tidak masuk akal mereka itu boleh berpakat untuk menipu atau melakukan kesalahan terhadap periwayatan tersebut.
Memang menggerunkan, untuk kita berfikir tentang adanya perbuatan seseorang yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Berdusta terhadap baginda, merupakan suatu keingkaran yang memanifestasikan kekufuran dan kedegilan manusia untuk tunduk kepada hidayah dan penyerunya.
Mungkin di dalam senarai bayangan kita, golongan musyrikin Mekah menjadi pelopor golongan ini. Mereka menolak seruan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, bahkan melemparkan pula kepada Baginda tuduhan-tuduhan jahat seperti ahli sihir dan orang gila. Atau mungkin yang terpampang di kefahaman kita, bahawa yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu adalah mereka yang mengeluarkan kata-kata yang keji untuk mendatangkan kemudaratan kepada Islam dan pengikutnya. Mereka inilah yang dengan sengaja berdusta ke atas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mereka inilah yang berhak ditimpakan amaran yang tegas oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam Hadith yang disebut sebentar tadi.

Ya, memang tidak dinafikan bahawa perbuatan golongan musyrikin dan kuffar serta ahli zindiq dan nifaq itu adalah pendustaan ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mereka menolak dakwah Baginda, mereka mengenepikan semua seruan yang disampaikan oleh Baginda, sedangkan semua seruan itu hanyalah untuk kebaikan mereka dan manusia sejagat. Justeru, tidaklah sukar untuk kita membuat justifikasi terhadap kedudukan mereka sebagai pendusta, yang berdusta lagi tercela.
Namun, di sana terdapat segolongan manusia yang di sepanjang rentetan sejarah keilmuan Islam, berdusta ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang halus, bahkan disangkakan sebagai jalan taqarrub kepada Allah.
Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bagaimana semenjak umat dicengkam oleh fitnah kehuru-haraan pengikut Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari Yaman yang mencucuk jarum permusuhan secara halus di zaman Uthman bin Affan RA, timbul pelbagai golongan dan kumpulan yang saling bermusuhan. Syiah yang ‘memaksa’ Saidina Ali RA menerima sokongan mereka, bertembung dengan golongan Khawarij.
Bermula sebagai perpecahan yang didorong oleh pendirian siasah, merebak dan melarat sehingga membawa kepada kacau bilau Aqidah dan kepercayaan. Pengikut bagi kumpulan masing-masing tanpa segan silu mereka-reka riwayat palsu dan kemudian menisbahkannya kepada Rasulullahsallallaahu ‘alayhi wa sallam. Riwayat-riwayat tersebut diguna pakai sebagai dalil untuk mensabitkan kelebihan pemimpin masing-masing.
Bagi penentang Muawiyah, mereka mempopularkan ‘hadith’ “Apabila kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah dia” dan bagi mereka yang menyokongnya, membalas pula dengan ‘hadith’ “Pemegang amanah adalah kami bertiga; aku (Rasulullah), Jibril dan Muawiyah”. Begitu juga dengan riwayat palsu “Tidak ada pokok di dalam syurga melainkan daun-daunnya tertulis – Laa Ilaaha Illallaah, Muhammad Rasulullah, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Farouq wa Uthman Dzu an-Nurain”.
Ini adalah salah satu punca utama yang membawa kepada timbul dan tersebarnya hadith maudhu’ (palsu).
MOTIVASI DENGAN MENDUSTAKAN NABI

Akan tetapi yang menjadi suatu kemalangan bagi kita, adalah apabila golongan ‘pendakwah’ atau ahli Targheeb dan Tarheeb di zaman tersebut, melakukan pembohongan yang sama, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai agar terkesan dengan ucapan mereka. Golongan ini mencipta riwayat-riwayat palsu tentang sifat syurga dan neraka, supaya mereka yang mendengarnya akan dapat merasai keindahan syurga atau menangis takut apabila mendengar tentang neraka. Pada mereka, jika orang ramai menjadi suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan, maka pendustaan dalam bentuk penciptaan hadith palsu itu boleh dijustifikasikan sebagai suatu usaha yang baik.
Lihat sahaja, misalnya Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jaami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jaami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jaami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jawzi 1:240]

Alangkah fasihnya lidah Nuh bin Abi Maryam membuat pembelaan terhadap ‘jenayah murni’nya itu. Hal yang sama juga dilakukan oleh Umar bin Subh bin Imran al-Taymi yang mencipta khutbah nabawi yang palsu serta Maysarah bin Abd Rabbih al-Farisi yang mencipta lebih 70 riwayat tentang kelebihan Saidina Ali RA.
Sesungguhnya para ahli Hadith telah membuat suatu jihad yang amat besar di dalam usaha mereka mempertahankan kemurnian disiplin ilmu Hadith. Mereka telah memerangi habis-habisan golongan pereka hadith palsu ini dan menyebar luaskan riwayat yang sahih sebagai bekalan pembimbing masyarakat.
KONTEKS SEMASA

Namun sikap manusia tidak berubah. Hari ini, walaupun Nuh bin Abi Maryam sudah tiada, masih ramai golongan yang mewarisi perbuatan berdusta ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Sikap tidak cermat dan teliti di dalam hal ehwal berkaitan keilmuan Islam, menjadikan masyarakat kita gagal merasa gah dan besarnya nilai sebuah hadith. Apabila Hadith Nabawi tidak dipandang tinggi, maka dengan sendirinya ia menjadi rendah sehinggakan ramai di kalangan kita yang tidak segan silu membakul sampahkan hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan kalam-kalam yang tidak diketahui asal-usulnya di dalam bungkusan yang sama.
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). [Al-Hashr 59: 7]
Telinga kita cukup mesra dengan kata-kata petah di kaca televisyen, di kuliah-kuliah masjid serta program motivasi, bahawa jika kita beramal dengan amalan ini, maka Allah akan mengurniakan padanya 10 darjat. Jika diamalkan amalan yang itu, nescaya malaikat akan melindunginya.
Bahkan kita juga tidak terkejut mendengar ada di kalangan penceramah yang mendakwa ulat yang lekat di tubuh Nabi Ayyub Alayhi as-Salaam itu jatuh ke bumi, yang jatuh ke darat menjadi lebah penghasil madu, manakala yang jatuh ke laut menjadi gamat. Maka penceramah itu tadi mula mempromosikan produknya. Ini lebih ajaib daripada perbahasan teori evolusi Darwin!
Amat sering kita temui, pendakwah-pendakwah masa kita menyebut bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, sedangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang sandaran keyakinan bahawa benarkah Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda begitu. Mereka dengan mudah mendakwa memakai pakaian ini adalah sunnah, makan seperti ini adalah sunnah, sedangkan mereka sendiri tidak tahu (atau sengaja bersikap seperti tidak tahu) apakah makna sunnah dan apakah benar Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu sendiri benar-benar pernah berpakaian demikian atau makan seperti itu. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah kerana sikap pendakwah seperti ini terhadap nas.
Mereka juga lupa bahawa soal dosa dan pahala adalah hak Allah Subhanahu wa Ta’aala. Mana mungkin kita mensabitkan pahala seperti itu. Siapakah yang memiliki ‘pahala’ itu untuk diberikan kepada manusia? Maka dengan mudah sahaja, para pendakwah menjustifikasikan kata-kata “membasuh talam makan, pahalanya adalah sama seperti membasuh Masjid Nabawi” sebagai hadith yang boleh menggalakkan kebersihan dan gotong royong membersihkan talam!
Kesimpulannya, pendustaan-pendustaan ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari ini berlaku secara berikut:
1.    Menolak ajaran Islam sama ada secara total, atau dengan cuba mengenengahkan Islam ‘baru’ yang bertujuan merobohkan aspek-aspek terasnya.

2.    Menolak sunnah secara total. Misalnya golongan anti Hadith atau mungkin juga golongan yang tidak mengisytiharkan pada lisan tentang penolakannya terhadap Hadith, namun perbuatannya amat mengkesampingkan Hadith dari kehidupan.

3.    Meniru kelakuan ahli Qasas (tukang cerita) yang amat gemar mencipta ‘hadith’ palsu demi meraih rasa kagum pendengar dari kalangan khawas (orang awam) kepada ucapan-ucapannya. Hari ini, para penceramah, pakar motivasi dan pembimbing masyarakat amat mudah terjebak kepada kelakuan buruk ini. Mereka menisbahkan cerita-cerita pelik yang berjaya mereka temui, kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tetapi kemudiannya tanpa disedari mereka sedang melukis potret Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada suatu figure khayalan, luar biasa dan lagenda, sehingga hilang sifat murni perkhabaran tentang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah.

4.    Mendakwa dengan sewenang-wenangnya bahawa pakaian begini adalah sunnah, cara duduk begitu adalah sunnah, zikir cara begini adalah sunnah, sedangkan semuanya didakwa tanpa sandaran asal usul dan dalil.
Jadikanlah semua ini sebagai peringatan khususnya kepada pendakwah, ustaz-ustazah di kuliah dan penceramah-penceramah motivasi. Sememangnya kumpulan ini perlu membuat reformasi besar-besaran terhadap persembahan dakwah mereka untuk meningkatkan kesan positif. Namun, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mencampur adukkan galakan-galakan yang berasaskan kepada hadith palsu, mereka-reka pahala, dan ancaman atau targheeb yang tidak berasas lagi dusta.
Didiklah masyarakat agar mengharga ilmu yang berdisiplin. Dekatkan mereka kepada nas dan timbulkan rasa positif dan gembira dapat beramal dengan apa yang terbukti datang dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Disiplin ilmu Hadith merupakan satu cabang ilmu yang sangat besar di dalam tradisi keilmuan Islam. Bisa sahaja para pendakwah tersilap dalam menukilkan mana-mana riwayat di dalam ucapan dan penulisan. Namun atas sifat kehambaan kita kepada-Nya, dan kasih yang benar terhadap Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga tidak tergamak mendustakannya, rendahkanlah diri untuk diperbetulkan. Benarkan artikel dan buku-buku untuk diedit agar betul nukilan hadithnya, terimalah teguran apabila ada kesilapan yang kita tersalah laku. Itu lebih menghampiri TAQWA.
Mudah-mudahan janganlah lidah kita yang fasih ini berhujah, “aku bukan berdusta ke atas Nabi, tetapi aku berdusta UNTUK nabi!”
Sumber


1 comments:

jasonbob berkata...

nike air max
hogan outlet online
michael kors handbags
jordan 6
nike air max 2019
supreme sweatshirt
golden goose outlet
golden goose
kd 11
kyrie 6
xiaofang20191217

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share