15 Julai, 2010

Program Kecemerlangan B. Arab PMR 2010 Jadi Pembakar Semangat











Seorang calon berbangsa Cina turut mengambil kertas B. Arab




Abu Aqil Adnan Ishak

Pada 8-10 Julai 2010 lepas telah diadakan program kecemerlangan B. Arab PMR 2010 peringkat PPD Bachok bertempat di SMK Long Yunus, Bachok yang melibatkan seramai 168 orang peserta dari sepuluh buah Sekolah. Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Kelantan. Seramai 22 orang peserta dari SMK Putri Saadong yang sangat teruja dengan program hadir dengan penuh semangat setelah lama menanti saat tersebut.

Pada awalnya saya berasa bimbang takut-takut tidak sempat untuk memantau anak-anak didik kerana telah dilantik sebagai penolong komandan ( sebenarnya tidak berkelayakan). Ini bermakna saya dan komandan iaitu Ustaz Mohd Amin bin Hamzah ( SMK Sri Aman, Pasir Puteh) diamanahkan bertanggungjawab memastikan program berjalan dengan lancar dan semua peserta dapat mengikuti program dengan sebaik mungkin.


Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dengan kerjasama yang diberikan oleh para peserta program yang mempunyai disiplin yang tinggi. Semuanya amat mudah bagi kami mengawal dan mengarahkan mereka. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pegawai khas J-QAF PPD Bachok, Ustaz Mohd Roslaile bin Mohd Nor di atas bantuan dan sokongan yang diberikan untuk menjayakan program ini.

Fokus utama program ialah menjelaskan teknik-teknik menjawab soalan format baru dengan menampilkan tiga orang penceramah berpengalaman iaitu Pn Hjh. Radziah Mohamad ( SMK Jelawat),  Ustaz Mohd Amin bin Hamzah ( SMK Sri Aman, Pasir Puteh) dan Ustaz Che Ayuk ( SMKA Tok Bachok).






Para peserta mengikuti program dengan penuh semangat dan dedikasi. Kerjasama yang mantap dalam kumpulan jelas dipamerkan oleh mereka terutama kesungguhan mereka untuk menjuarai pertandingan mengumpul tharwah dalam aktiviti pengayaan bahasa.

Antara yang menarik perhatian semua peserta, fasilitator dan hadirin ialah kewujudan seorang peserta yang berbangsa Cina iaitu Wee Soo Yen dari SMK Bachok yang telah mendapat A dalam peperiksaan pertengahan tahun yang lepas. Ini merupakan satu cabaran besar kepada para pelajar Islam yang lain agar berusaha keras untuk mencapai kecemerlangan dalam subjek B. Arab.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu disempurnakan majlis perasmian penutup oleh Timbalan Pegawai PPD Bachok,YBrs En. Mohd Faizul bin Yusof. Turut hadir ialah wakil SPI iaitu En. Amran bin Mamat.

Semoga program ini akan mencetuskan motivasi dalam diri pelajar serta dapat membakar semangat seterusnya dapat meningkatkan usaha dan kesungguhan untuk mencapai A dalam PMR kelak.



Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini terutama pihak tuan rumah SMK Long Yunus, semua fasilitator dan guru pengiring. Tidak dilupakan juga jutaan terima kasih kepada rakan setugas Ustazah  Nurul Khairiah bt Idris yang sudi mengiring peserta SMK Putri Saadong dan sahabat baik ustaz Mohd Nasir Mohamad yang bertugas sebagai pengerusi majlis perasmian penutup dengan baik.

Kepada semua peserta, tahniah dan syabas di atas komitmen dan dedikasi anda sepanjang program. Semoga kejayaan yang cemerlang  akan menjadi milik anda dalam PMR 2010 nanti.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share