25 Julai, 2010

Hadis Nabi : Kepentingan solat fardu dan solat sunat



Dari Abi Hurairah r.a. beliau berkata: Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya amalan seorang hamba yang pertama sekali dihisab ialah sembahyangnya. Sekiranya sembahyang itu bagus, maka dia berjaya. Tetapi jika sembahyang itu rosak, maka dia rugi. Sekira ada apa-apa kekurangan didalam kewajipannya(solat) maka Allah Azza Wajal mengatakan:- Perhatikan apakah hamba aku mempunyai sembahyang sunat yang boleh dia menyempurnakan kekurangannya didalam solat fardu. Segala amalannya yang lain akan diadili seperti itu.( Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, Al-Nasaai, Ibn Majah dan Ahmad)

Hadis di atas menjelaskan kepentingan solat fardu dan solat sunat. Solat fardu merupakan amalan yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT. Sekira solatnya diterima maka dialah manusia paling beruntung kerana akan diterima semua amalan-amalan yang lain. Sekira solatnya tidak sempurna disebabkan tidak khusyuk, lalai dalam solat, melewat-lewatkan solat dan seumpamanya , maka Allah memerintahkan para malaikat mencari solat-solat sunat yang pernah dilakukan untuk menampung kekurangan solat fardu tadi.


Sekiranya solat seseorang itu tidak diterima disebabkan kelalaiannya semasa hidup di dunia dengan sengaja mengabaikan solat fardu maka dia merupakan manusia paling rugi dan celaka kerana semua amalan yang lain tidak akan diterima.

Alangkah pentingnya solat fardu yang hanya diwajibkan lima kali dalam sehari. Tapi alangkah mengecewakan kerana generasi pada hari ini memandang remeh dan begitu mudah mengabaikan kewajipan ini tanpa rasa takut dan gerun dengan azab Allah yang sedang menunggunya di akhirat. Pelabagai alasan yang diberikan bila mereka tidak menunaikan solat fardu. Amat-amat tidak bermoral dan sungguh tidak bersyukur dengan jutaan nikmat dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan percuma.

Begitu juga dengan solat-solat sunat yang tidak kurang pentingnya kerana ia mampu menampung kekurangan yang terdapat dalam solat fardu. Oleh itu kita hendaklah memperbanyakkan solat-solat sunat sama ada solat sunat rawatib, tahajjud, taubat, dhuha, tasbih, hajat dan sebagainya.
Semoga Allah sentiasa membimbing dan menjadikan kita serta anak keturunan termasuk dalam golongan yang menegakkan solat dengan sempurna.




0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share