30 Jun, 2010
Usaha-usaha Membasmi Maksiat di Kalangan Pelajar
Bermula dengan penerangan tentang haram dan akibat buruk budaya ‘couple’ semasa perhimpunan minggu lepas. Diikuti dengan penangkapan beberapa pasang pelajar yang masih berdegil. Amat mengecewakan kerana masih terdapat pelajar yang tidak mempedulikan amaran keras dan tindakan tegas yang akan diambil. Pihak disiplin akan berusaha sedaya-upaya untuk menangani budaya terkutuk ini habis-habisan sehingga ke akar umbi.
Berdasarkan soal siasat terhadap pasangan yang ditangkap kesimpulan yang dapat dibuat ialah mereka tidak menunaikan solat fardu dengan sempurna serta pernah menonton gambar dan video lucah. Sumber untuk mendapatkan bahan-bahan lucah pada masa ini terlalu mudah sama ada disebarkan melalui telefon bimbit atau dimuat turun melalui internet. Semuanya dihujung jari dan percuma.
Faktor utama ialah jahil dengan ilmu agama dan jiwa mereka kosong dengan santapan ruhani yang dapat memantapkan iman mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terpedaya dengan tipudaya iblis dan syaitan.
Alhamdulillah, terdapat pelajar yang pernah diambil tindakan bertaubat daripada dosa tersebut. Beliau tampil membuat pengakuan dan menyatakan telah menyesal dan bertaubat. Dia sentiasa berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu. Semoga dia istiqamah dalam taubatnya dan mendapat pemeliharaan Allah. Semoga tindakan pelajar ini diikuti oleh pelajar lain yang pernah terperangkap dalam jerangkap yang dipasang oleh syaitan.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan mempermudahkan urusan kami untuk membasmi maksiat di kalangan pelajar. Semoga semua usaha murni ini akan menjadi amal soleh dan mendapat pembalasan sebaik-baiknya di akhirat nanti.
2 comments:
Ameen..
-ar9-
Zaman saya sekolah dulu, xde plak sebarang penangkapan dibuat jika pelajar bercouple.. tapi kalau pelajar ponteng solat akan diambil tindakan.. maybe zaman saya kegiatan couple ni masih belum berleluasa dan masih dipandang enteng.
Catat Ulasan