15 Jun, 2010

Status Hadis Nabi saw : Sikap Yang Bijak dan Betul



Oleh : Abu Aqil Adnan Ishak

Sesiapa yang sering membaca artikel-artikel keagamaan atau mendengar ceramah agama pastinya  menemui banyak nukilan hadis Rasulullah saw. Bagaimanakah sikap anda bila mendengar atau terbaca ucapan yang dikatakan hadis Nabi saw? Adakah anda menerimanya bulat-bulat atau anda bersikap berhati-hati dengan membuat rujukan sebelum menerimanya?.

Sekiranya anda terus menerimanya, anda berada dalam situasi yang berbahaya. Sikap kedua adalah langkah selamat,bijak dan betul. Tidak kira hadis itu terpacul keluar dari mulut seorang tokoh agama, nama besar dalam agama, ustaz atau ustazah yang tersohor, ilmuwan agama yang kerap muncul di televisyen dan sebagainya. Selagi tidak dinyatakan kesahihan hadis itu  maka kita hendaklah berhati-hati bila berinteraksi dengan dakwaan sesuatu hadis.


Kenapa begitu sekali? Kerana sikap berhati-hati ini akan menyelamatkan anda daripada termasuk dalam golongan yang menempah neraka sebagaimana hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 40 orang sahabat r.a. yang bermaksud :

Sesiapa yang melakukan pendustaan atas namaku dengan sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di neraka. ( Imam al-Bukhari , Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimiy )

Sikap terus terima, menyampaikan atau bercakap bila mendengar dakwaan hadis tanpa usul periksa juga termasuk melakukan pendustaan sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“Memadailah seseorang itu melakukan pendustaan bila dia menyampaikan setiap perkara yang didengar olehnya. ( Imam Muslim)

Ancaman Rasulullah saw tentang sesiapa yang mendustakan atas nama Baginda saw akan menempah neraka tidak sepatutnya dipandang remeh oleh setiap orang Islam. Amat mengecewakan bila individu yang bergelar ustaz atau penceramah agama begitu mudah menyandarkan sesuatu ucapan kepada Nabi saw tanpa diyakini kesahihannya. Orang awamlah yang menjadi mangsa kerana menerimanya bulat-bulat tanpa mengenalpasti status hadis tersebut.

Begitulah juga perintah Allah SWT dalam al-Quran bila berdepan dengan perkara yang kita tidak mengetahuinya. Maksud firman Allah SWT ;

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan di pertanggungjawabkan”.(Surah al-Isra’, ayat 36)

Di sini dinyatakan secara ringkas beberapa panduan agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mendustakan hadis nabi saw. Antara sikap yang mesti diambil bila berdepan atau mendengar ungkapan didakwa hadis ialah ;

1. Sekiranya dinyatakan hadis tersebut riwayat Imam al-Bukhari atau Imam Muslim maka boleh menerimanya kerana itu merujuk kitab sahih masing-masing dan ia diyakini sahih sepertimana disepakati oleh ulama hadis. Selain riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim seperti Imam al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa’i, ibn Majah, Ahmad, Daruqutniy, al-Darimiy dan sebagainya perlu kepada takhrij ulama’-ulama’ hadis tentang kedudukan hadis riwayat mereka sama ada dinilai oleh ulama silam atau ulama kontemporari.

2. Merujuk kepada individu yang berkemahiran dalam bidang hadis atau sesiapa yang mampu untuk mengenalpasti kedudukannya. Ingat! Sila rujuk golongan yang mengambil berat tentang kedudukan hadis. Diingatkan bahawa bukan semua ustaz atau ilmuwan agama mengambil berat atau benar-benar cakna tentang status hadis nabi saw. Ini kerana ramai juga golongan beragama yang amat mudah menyandarkan sesuatu ucapan kepada Nabi saw padahal sebenarnya ia bukanlah hadis sahih bahkan hadis palsu atau da’if.

3. Membuat kajian dan merujuk sendiri sumber hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis. Pada masa kini Allah SWT telah memudahkan kita dengan adanya kemudahan internet. Kita boleh ‘search’ apa-apa maklumat di enjin pencari yang disediakan. Manfaatkannya sebaik mungkin. Kebanyakan status hadis telah banyak dibincangkan di laman-laman web agama berbahasa melayu. Bagi yang memahami Bahasa Arab lebih luas peluang untuk menemui perbincangan di laman-laman web Bahasa Arab.

4. Sekiranya tidak dijumpai dan gagal dipastikan status sesuatu hadis, maka tangguhkan dulu penerimaannya dan jangan disebarkan. Diam itu lebih baik dan lebih selamat. Sabda Rasulullah saw :

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam. ( Imam al-Bukhari)

5. Setelah dikenalpasti dan yakin hadis itu sahih atau hasan maka bolehlah disandarkan kepada Nabi saw. Berusahalah untuk beramal dengannya serta menyebarkannya kepada orang lain. Kita hendaklah menerima hadis sahih seadanya. Sikap menolak hadis sahih sama seperti kita menerima hadis palsu. Kedua-duanya termasuk dalam mendustakan Rasulullah saw.

6. Sekiranya dikenalpasti sesuatu hadis itu da’if dan tidak diyakini kesahihannya maka tidak boleh disandarkan kepada Baginda saw secara putus. Cuba elakkan menyebarkannya kerana dibimbangi akan dianggap sahih oleh orang ramai kecuali dinyatakan status keda’ifannya secara jelas.

Ibn Hajar al-Asqalaniy berkata dalam karyanya Tabyin al-‘Ajb:”Tidak menyebarkannya( hadis da’if) kepada orang ramai sehingga orang jahil menyangka ia amalan dari hadis yang sahih”

Pesanan ulama hadis tersohor ini sebagai langkah berjaga-jaga, selamat dan tidak berisiko daripada berlakunya salah faham terhadap hadis Nabi saw.

7. Sekiranya dikenalpasti sesuatu hadis itu maudhu’ atau palsu maka haram kita menerimanya, beramal dengannya atau menyebarkannya. Tidak boleh sama sekali kita menyandarkannya kepada Nabi Muhammad saw kerana ia bukan sabdaan, amalan dan pengakuan baginda saw. Kesan beramal dengan hadis palsu amat buruk kerana boleh merosakkan akidah, menyebabkan berlaku perpecahan, tersebarnya bid’ah, khurafat dan menimbulkan salah faham serta prejudis terhadap kesucian Islam.

8. Beramal dengan hadis yang sahih dan abaikan riwayat yang da’if dan palsu. Hadis-hadis sahih yang menggalakkan kita beramal soleh dan beribadat kepada Allah amat banyak sehingga tidak larat untuk dilaksanakan. Kenapa kita masih perlukan amalan yang tidak pasti dan samar dilakukan oleh Rasulullah saw?.

Sabda Rasulullah saw :

Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada yang tidak meragukan kamu.( hasan sahih ;riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Semoga beberapa panduan ini dapat membantu peminat-peminat ilmu agama agar terselamat daripada melakukan pendustaan atas nama Rasulullah saw seterusnya dapat membendung dari tersebarnya hadis-hadis palsu dalam masyarakat kita.

Rujukan :

1. Ilmu Hadis : Satu Pengenalan dan Kajian, Dr Subhi al-Salih, DBP.
2. Bagaimana Berinteraksi Dengan al-Sunnah, Dr yusuf al-Qaradawiy, Budaya Ilmu Sdn Bhd.
3. 20 Persoalan Asas Tentang Hadis, Adlan bin Abd Aziz, Jahabersa.
4. Kesan Hadis Daif dan Palsu Terhadap Akidah,Abdul Rahman bin Abdul Khalik, Jahabersa.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share