18 Jun, 2010

Berakhir Musim Makan Kenduri





Telah menjadi kebiasaan setiap kali musim cuti sekolah akan diadakan kenduri kesyukuran,majlis perkahwinan atau walimatul urus. Hampir setiap hari ada sahaja jemputan ke majlis tersebut. Di segenap ceruk laluan didapati ada sahaja kenduri sehingga 2 atau 3 majlis dalam satu kampung. Jalanraya menjadi sesak dengan kenderaan-kenderaan yang menuju haluan masing-masing. Ini fenomena yang biasa dilihat pada musim cuti sekolah.

Apakah Hukum Menghadiri Kenduri?

Hukum menghadiri majlis kenduri adalah wajib berdasarkan hadis Nabi saw :
 “Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” ( Imam al-Bukhari)
Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini memberi ancaman kepada sesiapa yang tidak memenuhi jemputan saudaranya tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syarak.
Antara keuzuran yang diharuskan tidak menghadiri walimatul urus ialah :
1 – Terdapat perkara maksiat dan dosa dalam majlis tersebut seperti dihidangkan arak, makanan tidak halal, pergaulan bebas, pertunjukan yang mendedahkan aurat dan sebagainya yang diharamkan oleh agama
 2 – Majlis berunsurkan kesombongan dan takabbur dengan mengundang hanya golongan kaya atau berpangkat dan menyisihkan golongan yang fakir miskin.
Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
3- Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama.

Sekiranya kita tidak menghadiri disebabkan sesuatu urusan yang tidak dapat dielakkan atau kerana mendapat banyak jemputan sehingga tiada kesempatan untuk memenuhinya maka hendaklah dimaklumkan kepada tuan rumah tersebut untuk mengelakkan berlaku salah faham. Hubungan baik sesama muslim hendaklah dijaga bagi mengelakkan berlaku salah faham yang mengakibatkan hubungan menjadi renggang.

Kehadiran kita ke majlis kenduri ini pastinya akan mengembirakan tuan rumah dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim seterusnya akan mendapatkan ganjaran pahala dari Allah SWT.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share