26 Mei, 2010

Pelajar tingkatan 1 tumbuk muka cikgu bertubi-tubi





Ini satu lagi kes mencederakan guru. Puas bergaduh dengan rakan, guru pula ingin dijadikan mangsanya. Itu baru tingkatan satu, entah apa akan jadi bila berada di tingkatan empat atau lima. Besarnya cabaran menjadi pendidik...Abuaqil Adnan 
-----------

KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di ibu kota bukan saja dimaki-hamun pelajarnya, malah turut ditumbuk berulang kali pada muka menyebabkannya mengalami kecederaan.
Difahamkan, dalam kejadian Isnin lalu, pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun terbabit hilang kawalan selepas didenda guru itu kerana tidak membawa buku teks mata pelajaran diajarnya.


Semuanya bermula kira-kira jam 12 tengah hari apabila guru berusia 24 tahun itu mengarahkan pelajar tertabit keluar dari kelasnya dan berdiri di hadapan pintu sebagai hukuman.

Menurut sumber, pelajar terbabit dalam keadaan marah keluar dan berdiri di hadapan kelasnya sambil mencaci guru berkenaan.

“Bagaimanapun, guru berkenaan tidak mengendahkan tindakan pelajar terbabit dan meneruskan sesi pembelajaran,” katanya.

Sumber itu berkata, sikap biadab pelajar itu berterusan apabila dia cuba mengeruhkan keadaan dengan mengganggu pelajar lain yang mengikuti pembelajaran.

“Setiap kali ditegur guru berkenaan, pelajar terbabit memaki-hamun mangsa menyebabkan keadaan tegang seketika. Bukan sekali dua ditegur, guru berkenaan menegurnya lebih 10 kali, namun dia masih berdegil dan cuba mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Difahamkan, pelajar itu menghamburkan kata-kata kesat kepada guru berkenaan lebih 20 minit menyebabkan mangsa mula berang.

Menurut sumber itu, guru berkenaan keluar dari kelasnya sebelum memukul bahu pelajar terbabit menggunakan buku teks dipegangnya.

Bagaimanapun, buku itu terjatuh apabila pelajar terbabit mengelak.

Tindakan guru berkenaan yang tunduk untuk mengambil semula buku itu mengundang padah apabila dia diserang pelajar terbabit.
Sumber itu berkata, guru berkenaan ditumbuk lebih lima kali pada muka menyebabkannya cedera.

Difahamkan, guru itu tidak melawan kerana terkejut tindakan berani dan melampau pelajar terbabit.

Menurutnya, kejadian itu bukan saja disaksikan pelajar lain, malah beberapa guru yang mengajar di kelas bersebelahan.

“Seorang daripada guru yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan memberkas pelajar terbabit yang sedang mengamuk,” katanya.
Pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Guru berkenaan diarahkan tampil di balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, pelajar terbabit sudah dibuang sekolah berikutan tindakan keterlaluannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu kes itu sudah dirujukkan semula kepada pentadbiran sekolah untuk tindakan lanjut.

Usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan lanjut pihak pentadbiran sekolah berkenaan gagal.

1 comments:

Khaldun Sepang berkata...

Bila difikirkan balik...adakah tindakan buang sekolah oleh pihak sekolah ke atas pelajar itu merupakan satu tindakan yang terbaik?

Biasanya tindakan anak sebegini ada masalah keluaraga.Mungkin sahaja penceraian ibu bapa. Mungkin sahaja ibu bapa mengabaikan tanggungjawabnya di rumah. Aku sebaliknya tertanya-tanya kemana anak itu bakal pergi menghilangkan diri.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share