19 Mei, 2010

Had 25 pelajar setiap kelas disokong



Jawatan pembantu perlu diwujud kurangkan beban guru untuk tumpu tugas mengajar

 Sekiranya cadangan ini menjadi kenyataan pastinya ia akan mengembirakan semua guru. Beban yang dipikul sekarang oleh guru amat berat. Dengan bilangan pelajar antara 35-40 orang pelajar memang keberkesanannya amat terhad. Apatah lagi pelajar tersebut merupakan pelajar yang lemah dan sederhana tahap kepintarannya.

Jawatan pembantu juga pastinya akan meringankan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan oleh guru. Semoga perkara ini akan menjadi kenyataan.

--------------------------

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyambut baik cadangan mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah sebagai antara langkah mengatasi beban tugas guru, tetapi menyifatkannya sebagai tidak realistik untuk dilaksanakan atas faktor kekangan kewangan.

Mereka juga berpendapat langkah berkenaan tidak akan dapat mengatasi sepenuhnya masalah utama yang sedang dihadapi itu selagi guru dibebani tugas bukan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, terutama kerja perkeranian.


Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata cadangan itu bukan penyelesaian menyeluruh, sebaliknya hanya dapat mengurangkan beban tugas kerana guru masih terpaksa melakukan kerja seperti merekod data.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah paling signifikan ialah memastikan tugas guru hanya memfokus secara mutlak kepada pengajaran dan pembelajaran, sekali gus mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah bagi melicinkan urusan kerja lain.

“Cadangan ini dilihat lebih memberi kesan positif dari segi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kerana guru dapat memberi perhatian rapi kepada setiap murid dalam bilangan yang kecil, tetapi langkah itu tidak membantu menghapuskan beban tugas guru jika mereka masih diberi kerja perkeranian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata perancangan rapi perlu dilakukan segera bagi merealisasikan hasrat mengehadkan bilangan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas.

“Pada prinsipnya kami sambut baik tapi kalau betul cadangan itu hendak dipenuhi, kerajaan mesti ambil langkah positif dan proaktif seperti membina lebih banyak sekolah bertingkat dan memastikan guru terlatih lebih ramai.

“Sebab kalau dilihat dari premis dan ruang sekarang memang amat sukar untuk penuhi kehendak itu, kalau memenuhi bilangan pelajar satu kelas 35 orang itu agak praktikal, tapi untuk mengehadkan 25 pelajar satu kelas, saya fikir kerajaan perlu berbuat sesuatu dengan bangunkan lebih banyak kemudahan,” katanya.

Tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berpendapat usaha mengehadkan bilangan murid kepada 25 orang itu tidak membantu mengatasi beban tugas guru, sebaliknya kerajaan perlu menggunakan sistem pendidikan lama dengan mengehadkan tugas guru untuk mendidik murid saja berbanding memberi pelbagai tugas tambahan kepada guru.

Beliau berkata, tugas tambahan guru yang tidak relevan seperti menghadiri mesyuarat atau tugas pentadbiran seperti mengisi borang akan menjejaskan prestasi pengajaran dan pembelajaran murid kerana tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya.

“Dulu masa saya mengajar murid ramai juga lebih 40 orang, tidak ada masalah, ada sekali saya ajar pelajar Tingkatan Tiga subjek Sejarah, satu kelas ada 45 pelajar, 43 pelajar dapat A. Dulu guru beri perhatian pada setiap murid, dia tidak anggap satu kelas sebagai satu murid, kalau pelajar 40 orang, mereka beri perhatian pada setiap murid, tidak perlu buat kerja lain macam isi borang, tapi kegiatan kokurikulum kita buat juga, macam aktiviti sukan.

“Jadi tidak perlulah kerajaan cuba membuat ‘eksperimen’ lagi, gunakan model lama yang sudah terbukti berjaya dengan mendapat pandangan orang lama, cadangan hadkan bilangan murid memang baik tapi sukar dilakukan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Azimah Abdul Rahim, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan itu walaupun menyedari ia tidak realistik kerana memerlukan kos yang tinggi sama ada dari segi logistik, pengambilan guru dan penambahan bilangan sekolah.

“Memang sepatutnya bilangan pelajar dihadkan seperti di negara maju tapi masalahnya mana nak letak pelajar yang berlebih, guru pula tidak cukup. Banyak lagi masalah pendidikan asas yang perlu diselesaikan, walaupun cadangan ini baik tapi realitinya kementerian tidak mampu,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Had25pelajarsetiapkelasdisokong/Article

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share