~Perkongsian Ilmu Untuk Diamalkan Demi Menjana Iman~ Memanfaatkan Kehidupan Dunia Untuk Bekalan Akhirat~Tips dan motivasi Belajar~Tutorial Bahasa Arab~Info Semasa Dari Pelbagai Sumber Untuk Manfaat Semua.
Satu kisah yang menarik direkodkan oleh al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda menceritakan kisah seorang lelaki dari kalangan bani Israel yang meminta dari seorang kenalannya juga dari bangsa bani Israel agar memberinya hutang sebanyak 1000 dinar.
Lantas si pemberi hutang berkata : ”Bawakan kepadaku saksi-saksi agar mereka menjadi saksi hutang ini. Lelaki penghutang menjawab : ”Cukuplah bagiku Allah sebagai saksi”. Kemudian si pemberi hutang berkata lagi : ”Bawakan kepadaku penjamin”. Jawab si penghutang lagi : ”Cukuplah bagiku Allah sebagai penjamin”. Lelaki si pemberi hutang terus menjawab : ”Engkau benar” sambil menyerahkan kepadanya hutang tersebut sehingga suatu tempoh yang telah ditetapkan.
Selepas itu, lelaki si penghutang tadi pun keluar menuju ke laut dan menunaikan hajatnya. Kemudian, selepas sampai tempoh waktu hutang perlu dibayar sebagaimana dijanjikan, dia cuba mendapatkan kapal untuk menyeberangi laut ke tempat si pemberi hutang namun tiada kapal pada ketika itu.
Lantaran itu, dia mengambil sebatang kayu lalu menebuk lubang pada kayu itu. Dia pun memasukkan duit 1000 dinar ke dalam kayu tersebut serta dilampirkan sepucuk surat. Selepas lubang tadi disumbat dan ditutup semula, dia pun pergi ke tepi pantai dan berkata : ”Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya engkau mengetahui bahawasanya aku berhutang dengan si folan sebanyak 1000 dinar, lalu dia meminta aku datangkan penjamin, tetapi aku menjawab cukuplah Allah sebagai penjaminku. Dia reda Engkau menjadi penjaminku. Dia juga meminta aku datangkan saksi, lalu aku berkata cukuplah Allah sebagai saksiku. Dia reda Engkau menjadi saksiku. Hari ini aku bersungguh-sungguh mencari kapal untuk aku membayar hutangku, tetapi aku tidak mampu dan tidak menjumpainya. Jadi aku meletakkannya dalam kayu dan menghayutkannya ke dalam laut sehingga tenggelam ke dalamnya”.
Kemudian dia pun beredar dari situ dan masih meneruskan pencarian kapal yang boleh membawanya menyeberangi laut tersebut. Dalam masa yang sama, lelaki si pemberi hutang pun sedangkan menunggu lelaki penghutang di tepi pantai. Dia melihat-lihat, takut-takut ada kapal yang akan berlabuh dan membawa duit hutangnya dahulu. Tiba-tiba tiada kapal muncul tetapi dia terjumpa sebatang kayu yang dipukul ombak sehingga ke tepin pantai. Lantas dia mengambil kayu tersebut dan membawanya pulang untuk dijadikan kayu api. Tatkala membelah kayu itu, alangkah terkejutnya kerana ia mendapati ada duit dan sepucuk surat yang dihantar untuknya.
Tidak lama selepas itu, tiba lelaki si penghutang kepadanya dengan membawa 1000 dinar lagi dan berkata ”Demi Allah, aku telah cuba sedaya upaya mendapatkan kapal untuk datang berjumpamu, tetapi aku tidak menjumpai sebuah kapal pun sebelum ini. Lelaki si pemberi hutang bertanya : ”Apakah engkau mengutuskan kepada aku dengan sesuatu benda?”. Dia menjawab : ”Aku beritahu dah kepadamu aku tidak menjumpai sebuah kapal pun sebelum ini”. Lalu lelaki si pemberi hutang berkata : ”Sesungguhnya Allah Taala telah melunaskan hutangmu dengan menyampaikan kayu yang engkau utuskan”. Lelaki si penghutang pun pulang ke rumahnya dengan gembira sambil membawa 1000 dinar.
Moral kisah :
1. Hendaklah yakin kepada Allah dalam apa jua keadaan
2. Hendaklah menjaga soal hutang piutang dengan baik
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".
0 comments:
Catat Ulasan