03 Januari, 2010

Perkongsian Hari Pertama Persekolahan Sesi 2010



BISMILLAH…


Hari ini Ahad 3 Januari 2010 merupakan hari pertama persekolahan sesi 2010 bagi negeri Kelantan. Walaupun cuaca hari ini mendung dan hujan sejak awal pagi tidak menghalang para pelajar SMK Putri Saadong, Bukit Marak, Bachok Kelantan untuk datang dengan semangat yang berkobar-kobar. Pelajar tingkatan satu dan empat mengikuti orientasi sebagai persiapan diri untuk menempuhi suasana dan alam baru sekolah menengah bagi tingkatan satu dan alam menengah atas bagi tingkatan empat.


Semua guru dikehendaki memasuki kelas seawal masa pertama. SMK Putri Saadong dihadiri oleh seorang wakil daripada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri ( BTPN) untuk memantau perjalanan sesi persekolahan 2010 berjalan dengan baik dan lancar.

Pada hari pertama juga telah terdapat beberapa orang pelajar yang melakukan kesalahan disiplin iaitu rambut berfesyen punk dan ‘duri landak’. Pelajar seperti ini sebenarnya memperbodohkan diri sendiri dan hadir ke sekolah dengan nawaitu yang tidak betul. Mereka mengetahui perbuatan mereka itu salah, tapi masih melakukannya. Sungguh pelik manusia seperti ini.

Hari ini juga ustaz telah memasuki kelas 2A1 yang seramai 34 orang pelajar semuanya dengan pelajar lelaki hanya seramai  4 orang. Ke mana perginya pelajar-pelajar lelaki yang lain?. Ternyata pelajar perempuan lebih dominan dan cemerlang dalam akademik berbanding kaum Adam.

Para pelajar 2A1 nampaknya bersemangat dan kelihatan agak takut-takut. Mungkin kerana pertama kali berdepan dengan ustaz Adnan yang barangkali ‘bekeng’ pada pandangan mereka. Kelas pertama diterangkan taklimat cara pembelajaran, buku yang perlu ada dan pembahagian kategori buku nota untuk memudahkan pembelajaran dan rujukan.

Hari pertama persekolahan diakhiri dengan memimpin para pelajar tingkatan satu dan empat solat zohor berjamaah dan sedikit tazkirah disampaikan selepas solat zohor sebagai peringatan kepada adik-adik tingkatan satu yang datang dengan pakaian serba baru. Mudah-mudahan pelajar pelapis inilah yang akan mencetuskan kegemilangan SMK Putri Saadong untuk masa akan datang…Insya Allah.



0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share