18 Januari, 2010
Kisah Orang Berpenyakit Kulit, si Botak dan si Buta
BISMILLAH...
Kisah kali ini ialah mengenai tiga orang yang diuji oleh Allah dengan penyakit dan harta benda yang melimpah ruah. Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.
Imam al-Bukhari ( 3464) dan Muslim (6653) meriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya terdapat tiga orang dari Bani Israil yang berpenyakit kulit, berkepala botak dan buta. Allah ingin menguji mereka lalu diutus seorang malaikat.
Pertama malaikat mendatangi seorang berpenyakit kulit dan bertanya kepadanya : apakah perkara yang paling kamu inginkan?. Dia menjawab : rupa yang elok, kulit yang licin dan apa yang menjijikkan orang hilang dari tubuhku. Maka malaikat menyapu kulitnya lalu hilanglah penyakit kulit yang dialaminya serta diberi rupa yang elok dan kulit yang cantik. Malaikat bertanya lagi kepadanya. Kekayaan apa yang paling kamu hendaki?. Dia menjawab : unta atau sapi. Maka diberikan untuknya seekor unta yang bunting dan didoakan agar Allah melimpahkan berkatNya dengan unta itu.
Kemudian malaikat mendatangi orang berkepala botak dan bertanya kepadanya : Apakah perkara yang paling kamu inginkan?. Dia menjawab : rambut dan apa yang menjijikkan orang lain di kepalaku ini dihilangkan. Maka disapu kepalanya dan ketika itulah hilang penyakitnya serta diberi rambut yang cantik. Malaikat bertanya lagi kepadanya. Kekayaan apa yang paling kamu hendaki?. Dia menjawab : sapi atau unta. Maka diberikan untuknya seekor sapi yang bunting dan didoakan agar Allah melimpahkan berkatNya dengan sapi itu.
Kemudian malaikat mendatangi si buta dan bertanya kepadanya : Apakah perkara yang paling kamu inginkan?. Dia menjawab : dikembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat orang ramai. Lalu disapu mukanya dan Allah mengembalikan penglihatannya. Malaikat bertanya lagi kepadanya. Kekayaan apa yang paling kamu hendaki?. Dia menjawab : kambing. Maka diberikan untuknya seekor kambing yang bunting.
Tidak beberapa lama kemudian ternakan mereka berkembang biak dengan baik sehingga orang pertama mempunyai selembah unta, kedua mempunyai selembah sapi dan ketiga selembah kambing.
Malaikat datang kembali kepada orang yang dulu berpenyakit kulit dengan menyerupai dirinya dan berkata: aku seorang miskin, telah terputus semua jalan bagiku untuk mendapat rezeki dalam perjalananku hari ini kecuali dengan pertolongan Allah, kemudian dengan bantuan anda. Demi Allah yang telah memberi rupa yang elok, kulit yang cantik dan kekayaan ini, aku meminta seekor unta sahaja untuk meneruskan perjalananku. Tetapi dia menjawab : tanggunganku banyak. Malaikat yang menyamar itu berkata : dulu aku kenal kamu, seorang yang berpenyakit kulit, orang jijik terhadapmu dan hidup melarat. Lalu Allah memberikan kekayaan kepadamu. Malah dia menjawab : sesungguhnya harta kekayaan ini aku warisi turun temurun daripada nenek moyangku yang mulia lagi terhormat. Malaikat itu berkata : sekiranya kamu berdusta, nescaya Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu.
Kemudian malaikat mendatangi yang dulunya botak dan menyerupai dirinya dulu dan berkata seperti orang berpenyakit kulit. Namun malaikat itu ditolak sebagaimana yang pertama tadi. Malaikat itu berkata : sekiranya kamu berdusta, nescaya Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu.
Kemudian malaikat mendatangi yang dulunya buta dan menyerupai dirinya dulu dan berkata : aku seorang yang miskin, habis bekalan dalam perjalanan hari ini kecuali dengan pertolongan Allah, kemudian dengan bantuan anda. Demi Allah yang telah mengembalikan penglihatan anda, aku meminta seekor kambing untuk bekalan perjalananku. Dia menjawab : benar, dulu aku seorang yang buta lalu Allah mengembalikan penglihatanku. Maka ambillah apa yang anda sukai. Demi Allah sekarang ini aku tidak akan menyusahkan anda dengan memintamu mengembalikan sesuatu yang telah anda ambil kerana Allah. Malaikat berkata : peganglah kekayaan anda. Kerana sesungguhnya kalian hanyalah diuji oleh Allah. Allah telah redha dengan anda dan memurkai dua orang rakan anda.
Pengajaran Hadis :
1- Allah menguji hambanya dalam apa jua bentuk ujian untuk mengetahui mana yang bersyukur dan yang kufur dengan nikmat kurniaanNya.
2- Malaikat boleh menyerupai manusia sebagaimana dijelaskan dalam hadis-hadis sahih.
3- Harta yang diberkati akan bertambah dan berkembang dengan baik.
4- Harta yang banyak bukan bukti kasih sayang Allah kepada seseorang.
5- Semua penyakit dapat disembuhkan dengan izin Allah. Jangan berputus asa.
6- Manusia mudah lupa diri dan sombong bila mendapat kekayaan.
1 comments:
salam, huhu, ujian.. beringat2lah kita..
jgn leka dgn sgala ksenangan~
Catat Ulasan