22 Disember, 2009

Berhati-hati Memilih Kawan





BISMILLAH…
Setiap insan tidak dapat lari daripada mempunyai kawan atau sahabat dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar yang memerlukan sokongan, dorongan dan bantuan daripada pelajar lain dalam menghadapi alam persekolahan. Mustahil seseorang pelajar itu dapat menempuh alam persekolahan tanpa seorang sahabat.

Namun demikian perlu diingatkan bahawa kita hendaklah berhati-hati dalam memilih kawan agar kita sentiasa mendapat kebaikan dan tidak terjerumus ke dalam perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Seorang kawan boleh mendatangkan banyak kebaikan, tetapi sekiranya tersilap pilih kawan maka ia boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk.

Sebenarnya Rasulullah saw telah menerangkan cara untuk memilih kawan. Sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Perumpamaan teman  yang baik dan teman yang jahat ialah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi boleh jadi ia akan memberimu minyak wanginya, boleh jadi engkau membeli darinya dan boleh jadi engkau akan dapati darinya aroma yang wangi. Sementara tukang besi, boleh jadi ia akan membakar pakaianmu dan boleh jadi engkau akan mendapat bau busuk.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang teman yang sentiasa bersama  boleh mempengaruhi kelakuan dan tabiat seseorang. Sesiapa yang bersahabat dengan individu yang baik akan terpengaruh dengan sifat-sifat baik temannya dan sebaliknya kawan yang jahat akan menjadikan seseorang itu juga menjadi jahat.
AKIBAT MEMILIH KAWAN YANG JAHAT
1.  Terpesong daripada kebenaran. Al-Quran merakamkan peristiwa di akhirat mengenai akibat terpesong daripada kebenaran. Firman Allah SWT :
Lalu sebagian mereka (penghuni surga) menghadap sebahagian yang lain sambil bercakap-cakap. Berkatalah salah seorang di antara mereka, “Sesungguhnya aku dahulu (di dunia) memiliki seorang teman. Temanku itu pernah berkata, ‘Apakah kamu sungguh-sungguh termasuk orang yang membenarkan hari berbangkit? Apakah bila kita telah meninggal dunia dan kita telah menjadi tanah dan tulang belulang, kita benar-benar akan dibangkitkan untuk diberi pembalasan.” Dia berkata: “Maukah kalian meninjau temanku itu?" Maka ia meninjaunya, ternyata ia melihat temannya itu di tengah-tengah neraka yang menyala-nyala. Ia pun berucap, “Demi Allah! Sungguh kamu benar-benar hampir mencelakakanku. Jikalau tidak karena nikmat Rabbku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret ke neraka.” (Ash-Shaffat: 50-57)
  
Inilah akibat yang paling buruk sekiranya kita tersilap memilih kawan yang jahat. Bersahabat dengan orang yang jahat boleh mengheret seseorang itu ke dalam neraka.
 2.  Terpengaruh  melakukan dosa dan maksiat. Sekiranya kita berkawan dengan orang yang suka mengumpat, mencarut, menabur fitnah dan sebagainya, lambat laun kita juga akan bersifat sedemikian walau pun sebelum itu kita seorang yang pendiam.  Pelajar yang tidak merokok akan merokok bila berkawan dengan pelajar lain yang menghisap merokok. Sedangkan merokok adalah perkara yang haram di sisi syarak.
 3.  Hilang minat untuk belajar. Teman yang jahat lebih cenderung untuk melakukan kejahatan dan hatinya tertutup untuk menuntut ilmu. Ilmu tidak akan bertempat di hati yang kotor disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Bila ilmu diabaikan maka tunggulah kemusnahan dan kegelapan  masa depannya.
Oleh yang demikian, berhati-hatilah memilih kawan agar kebaikan sentiasa menjadi milik kita. Silap memilih kawan boleh memusnahkan masa depan dalam kehidupan di dunia dan lebih teruk lagi sekiranya dicampakkan ke dalam neraka Allah SWT. Na’uzubillah.
WALLAHU TA’ALA A’LAM 




0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share