31 Ogos, 2010
Puasa beri kekuatan kepada saudara baru
Ini dibuktikan apabila saudara baru dari masyarakat India dan Orang Asli melihatkan keupayaan berpuasa dalam bulan Ramadan serta tidak sabar menantikan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Program dianjurkan oleh sebuah pertubuhan yang menghubungkan generasi muda dinamakan Nisa' mempunyai cawangannya di negeri ini.
Utusan Malaysia yang berkesempatan bersama-sama saudara baru ini dalam majlis berbuka puasa kelmarin, nyata diberikan satu gambaran indah betapa mereka bersemangat menjalankan ibadah berpuasa seperti yang dituntut dalam Rukun Islam.
Normala Thevi Abdullah, 34 berkata, berpuasa banyak mengajar erti kesabaran bukan sahaja menahan lapar tetapi perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam.
"Kita juga perlu menahan nafsu seperti mengawal perasaan, menjaga percakapan, tidak boleh melihat benda yang tidak baik dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui di Surau Dusun Nyior, dekat sini kelmarin.
Normala berkata, dia bangun sahur pada pukul 4.30 pagi dan berbuka puasa mengikut sunah Nabi Muhammad SAW dengan mengambil kurma dan minum segelas air terlebih dahulu, sebelum mengerjakan solat maghrib.
"Sudah dua tahun saya menjalani ibadah berpuasa. Saya seronok. Saya tidak pedulikan apa masyarakat sekeliling mahu bercakap mengenai saya yang telah memeluk agama Islam ini. Yang penting ialah saya memenuhi segala tuntutan yang difardukan kepada kita," katanya.
Normala sebelum ini pernah mewakili negeri ini ke Johor Bahru menyertai program pengenalan saudara baru Zon Selatan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Sementara itu, Orang Asli dari Kampung Tekir, Labu, Gayah Abdullah, 45, berkata, dia sudah memeluk agama Islam sejak 14 tahun lalu dan nyata agama ini memberikan banyak ketenangan untuk hidupnya.
"Hari ini, saya semakin biasa bangun awal untuk bersahur dan pada waktu siang pula, saya sudah mampu bertahan dari kelaparan dengan lebih baik," katanya.
Tambah Gayah, daripada enam orang anaknya, hanya anak perempuan yang bongsunya sahaja memeluk agama Islam.
Mengimbas kembali detik dia mula memeluk agama Islam, Gayah berkata dia telah mendapat banyak tentangan daripada ibu, bapa dan keluarganya.
"Namun itu tidak langsung mematahkan semangat saya. Alhamdulillah, dan kini daripada lima beradik, dua telah memeluk Islam iaitu saya dan seorang kakak," jelasnya.
Anak Gayah, Masila Abdullah, 15, berkata, dia mendalami agama Islam sejak berusia 12 tahun.
"Memanglah, saya tidak pernah berpuasa sebelum ini. Saya tetap mencuba dan hari ini, Alhamdulillah, saya mampu melakukannya," katanya.
Sementara itu, pengarah pertubuhan Nisa' negeri ini, Suraya Liza Rosli berkata, program ini merupakan perintis untuk mendekati saudara baru dan mereka yang telah lama memeluk agama Islam terhadap pengalaman berpuasa.
"Kita berusaha mendekatkan hubungan persaudaraan antara umat Islam dan pada masa yang sama memberikan kefahaman terhadap keseluruhan muslim kegigihan insan saudara baru ini berpuasa," katanya.
Pada majlis itu, pihaknya juga menyampaikan duit raya dan barangan kepada enam saudara baru yang diraikan dalam majlis sederhana, tetapi amat besar pengertiannya dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini.
0 comments:
Catat Ulasan