Inilah antara cabaran yang mesti dihadapi oleh para pendidik pada masa kini. Dulu-dulu memang tidak terlintas pun di hati pelajar untuk mengugut guru dengan ugutan bunuh dan tidak pernah kedengaran berita mengenainya. Tapi sekarang, macam-macam ugutan yang diterima semata-mata kerana menjalankan tugas yang diamanahkan. Sungguh ‘hebat’ generasi masa kini. Semoga Allah berikan ganjaran yang terbaik kepada pendidik pada masa kini...Abuaqil Adnan
-------------------
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar hari ini diperintahkan menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney, Melaka, selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengugut membunuh gurunya bulan lalu.
Majistret Juvana Suhaily Samsudin memerintahkan hukuman terhadap pesalah juvana berusia 17 tahun itu bermula hari ini dan turut memerintahkan ibu juvana terbabit dikenakan bon RM1,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.
Beliau juga membenarkan ibunya melawat pesalah itu sebulan sekali di sekolah berkenaan.
"Anak kamu ini tidak berdisplin, mahkamah memerintahkan dia dihantar ke sekolah itu," kata Suhaily kepada ibunya yang tidak menunjukkan reaksi semasa hukuman dijatuhkan.
Remaja itu didakwa mengugut dengan berkata: "Apa kata kalau aku hantar orang bunuh kamu?" kepada Rosli Abdul Aziz, 54, di tempat letak motosikal Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda di sini pada 8.30 pagi, 21 April lalu.
Pesalah juvana itu dibuang sekolah kerana masalah disiplin sebelum kejadian itu. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan