25 Mei, 2010

Darah : Perkara Pertama Yang Dihisab di Akhirat





Petang tadi, Ketika  saya berehat di bilik guru menunggu waktu pulang tiba-tiba datang seorang pelajar yang memanggil saya ustaz...ustaz!!!. saya berpaling dan terkejut serta beristighfar melihat pelajar tersebut dengan keadaan dahinya berdarah sambil  ditemani seorang pelajar lagi.

Bila ditanya dia menjawab bahawa dia dibelasah oleh empat orang rakan sekelasnya. Tidak dipastikan apakah punca berlaku kes tersebut. Inna lillah...

Apa nak jadi dengan generasi masa kini?. Ketika orang lain berlumba-lumba tingkat ilmu pengetahuan pada zaman serba canggih ini dia masih lagi hendak tunjuk kuat dan hero dengan membelasah pelajar lain. orang lain melangkah ke zaman moden dia berundur  ke zaman purba.


Sekarang ini, betapa banyak orang yang memandang remeh masalah darah. Zaman kini kembali subur dengan berita bertetak, membunuh dan bermusuhan sehingga terjadinya pertumpahan darah.

Bila dendam kesumat, hawa nafsu dan ammarah menjadi ‘tuan’ dalam dirinya, terjadilah kes-kes seperti itu.
Adakah mereka tidak mengetahui bahawa sekiranya laporan polis dibuat boleh menyebabkan mereka dipenjarakan?. Inginkah mereka bergelar banduan pada usia muda?. Itu dari sudut pertimbangan dunia, bagaimana pula dari sudut agama?

Ingat! Perkara mula-mula yang dihisab ( berkaitan kes sesama manusia ) ialah kes darah ( pembunuhan) sebagaimana hadis riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW  bersabda :

“Hal yang pertama sekali diputuskan (dihisab) di antara sesama manusia pada hari kiamat adalah masalah darah (pembunuhan).” (Mutafaqun ‘alaih)

Islam  memandang serius kes yang membawa kepada kehilangan nyawa kerana membunuh seseorang merupakan satu kerosakan yang sangat besar. Sebab itu Islam menempati membunuh itu dosa yang paling besar selepas kufur kepada Allah.

Hadits di atas  tidak bertentangan dengan hadis yang terkenal iaitu hadis  riwayat Abu Hurairah r.a yang bermaksud : “ Perkara yang pertama kali akan dihisab dari seorang hamba adalah shalatnya”.

 Hadis Ibnu Mas’ud bermaksud perkara yang berkaitan sesama manusia, sedangkan yang dimaksud dalam hadits Abu Hurairah adalah perkara yang berkaitan antara seorang hamba dengan Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa hak manusia yang paling besar adalah masalah darah, dan hak Allah yang paling besar dari seorang muslim adalah salat.

Oleh yang demikian kita hendaklah berusaha menghindari sebarang pernusuhan apatah lagi pergaduhan yang boleh membawa kepada pertumpahan darah agar tidak mendapat kecelakaan di akhirat kelak.

 



0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share