24 November, 2012
Produk Memperdagangkan Al-Quran Semakin Membimbangkan
Penjualan produk tempatan yang memanipulasikan ayat al-Quran semakin membimbangkan. Kalau dulu bermuladengan air musoffa kemudian air minuman kini minyak wangi pula kononnya dijampi dengan ayat suci. sila baca artikel manfaat ini
--------------------------------------------
Artikel dari
: http://mufakkir-islami.blogspot.com
Penulis
melihat mutakhir ini penjualan produk rawatan berasaskan ayat-ayat al-Qur'an
mahupun doa semakin menjadi-jadi. Dari satu sudut ia kelihatan baik kerana
seolah-olah memperlihatkan umat Islam semakin ghairah untuk kembali kepada
agama termasuk dalam ehwal berkaitan dengan kesihatan dan perubatan. Namun
begitu, dari satu sudut yang lain, ia mendedahkan kesucian agama Islam kepada
manipulasi dan eksploitasi demi kepentingan duniawi.
Ini kerana
terdapat sesetengah pengusaha teramat melampau dalam mengkomersialkan
produk-produk mereka sambil membawakan pelbagai testimoni sebagai bukti
keberkesanannya. Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah
kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Qur'an.
Maka, dengan berbekalkan
hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil
menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti untuk mempercepatkan jodoh,
mengeratkan kasih sayang suami isteri, membenteng diri daripada makhluk halus,
menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat yang seolah-olahnya serba
'menyembuhkan' sesuai dengan kedudukan al-Qur'an sebagai mukjizat yang penuh
dengan kelebihan.
Dalam hal
ini, penulis teringat kepada pesanan Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh
al-Azhar yang pernah menyatakan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku
ini. Beliau pada asasnya tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat
al-Qur'an pada kertas atau bekas-bekas tertentu dan kemudian dibasuh dan
diminum. Ini kerana pada pandangannya perbuatan tersebut menyeleweng daripada cara
perawatan dan perubatan sebenar serta digunakan oleh pihak tertentu untuk
mendapatkan sumber kewangan dengan cara yang tidak diterima oleh Islam. Beliau
mengatakan seperti berikut :
وإن تعجب فعجب أن تكتب
الأية القرأنية في إناء ثم تمحى بالماء. ثم تؤمر المريض بشربه أو تكتب قطع صغيرة
من الورق ثم تلف كالبرشام ويؤمر المريض بابتلاعها , أو تحرق تلك القطع ويبخر
المريض بها على مرات, أو توضع في خرقة وتعلق حجابا في مكان معين من جسم المريض.
وبهذا ونحوه اتخذ الدجالون القران لكسب العيش عن طريق يأباه الإيمان ويصدقه كثير
من المسلمين. وذلك فضلا عن أنه انحرف عما أنزل لأجله فإن فيه إفسادا للعقول
الضعيفة وصرفا لأربابها عن طريق العلاج الصحيح, وتغييرا لسنة الله في الأسباب
والمسببات , واحتيالا على أكل أموال الناس بالباطل, وهذا تصرف لا يقره دين ولا
يرضى به عقل سليم.
من كتاب "
فتاوى" للشيخ محمود شلتوت , ص : 208
"Dan amat menakjubkan bahawa ayat-ayat
al-Qur'an ditulis di dalam bekas kemudian dipadamkan dengan air, lalu pesakit
diminta supaya meminumnya atau ditulis di atas kepingan-kepingan kertas yang
kecil kemudian dihancurkan seperti pil dan pesakit disuruh untuk menelannya,
atau dibakar kepingan tersebut dan pesakit diminta mengasap dengannya beberapa
kali atau diletak kepingan kain dan digantung sebagai pembalut pada tempat
tertentu pada tubuh pesakit. Dengan ini dan seumpamanya, para dajal telah
menggunakan al-Qur'an untuk mencari makan dengan cara yang dinafikan oleh iman
namun dibenarkan oleh ramai umat Islam. Demikian itu, lebih-lebih lagi ia
terseleweng daripada tujuan sebenar al-Qur'an diturunkan, ia merosakkan akal yang
lemah dan memalingkan orang yang terlibat (para pesakit dan yang berhajat)
daripada kaedah rawatan yang sahih, dan mengubah sunnatullah dalam sebab dan
musabab, dan satu penipuan untuk memakan harta orang ramai secara batil,
perbuatan ini tidak diakui agama dan tidak diredai oleh akal yang waras". (Fatawa Shaykh Mahmud Shaltut, hal. 208)
Walaupun
fatwa Syeikh Mahmud Syaltut ini mungkin bercanggah dengan pandangan sesetengah
ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penekanan
yang diberikan oleh beliau ialah unsur-unsur memanipulasikan ayat-ayat suci
al-Qur'an dan doa untuk kepentingan duniawi. Sukar untuk dinafikan apabila
kaedah rawatan seumpama dijadikan perniagaan komersial, ketika itu, pelanggan
bukan lagi melihat Allah SWT itu sebagai penyembuh tetapi produk-produk
tersebutlah yang menyembuhkan. Lebih-lebih lagi apabila pengusaha-pengusaha
produk saling bersaing dan berlumba-lumba antara satu sama lain untuk
menunjukkan produk mereka lebih mujarab bahkan lebih MUSTAJAB BACAAN AL-QUR'AN
DAN DOANYA berbanding produk lain.
Antaranya
contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan
Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah
membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya
sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai
khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan
perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan
tersebut daripada bala bencana.
Dalam segmen
tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar
yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan
menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.
Perbuatan
yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat
Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan
Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004
yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan
dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh
membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.
Mesyuarat
Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24 Mei 2005 juga telah
bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial
adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah,
penipuan dan kepercayaan khurafat.
Seterusnya
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006
memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang
kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat
dan penipuan”.
Malah isu Air Musoffa ini pernah dibangkitkan oleh Y.A.B. Perdana
Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November 2004 dengan mengatakan
adalah tidak wajar Air Musoffa ini dijual kepada orang ramai kerana boleh
ditafsirkan sebagai memperdagangkan ayat-ayat al-Quran dan dikhuatiri
masyarakat Islam akan mempercayai keupayaannya bagi menyembuhkan pelbagai
penyakit dan meninggalkan perubatan moden.
Pada pemerhatian penulis juga, kaedah-kaedah rawatan yang seumpama ini
kadang-kadang menjadi penyebab sesetengah orang MENSEKULARKAN perubatan moden
dengan mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, padahal tokoh-tokoh
awal perubatan moden itu dipelopori oleh para ulama Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham,
al-Razi, Ibn Rusyd dll yang menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian
daripada perubatan Islam.
Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Qur'an memiliki
kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin
Allah SWT. Namun untuk menggunakan al-Qur'an bagi tujuan melariskan produk dan
menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik dari yang lain, adalah suatu
perbuatan MEMPERDAGANGKAN al-Qur'an dengan harga yang murah seperti firman Allah
SWT dalam surah al-Taubah ayat 9: "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah
dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi
(dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya
apa yang mereka telah kerjakan".
0 comments:
Catat Ulasan