09 Jun, 2010

Wahai Pelajar ! Hayatilah Nasihat Imam al-Syafie


Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu, penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar dalam bidang fekah. Beliau banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada para pelajar. Antaranya ialah :

1. Imam al-Syafie  pernah bersyair:

Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’


2.Beliau Berkata :

 Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.”

Dua ungkapan di atas merupakan azimat yang berharga yang mesti ambil perhatian oleh penuntut ilmu agar mendapat manfaat  dengan ilmu yang dipelajari.

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat Imam al-Syafie ialah :

1. Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan hijab atau penghalang untuk mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpan ilmu yang bermanfaat.

2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.

3. Melakukan amalan-alaman sunat secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini antara cara untuk  ikhlas dalam beramal soleh.

4. Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa menghabiskan masanya dengan ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau akhiratnya.

5. Orang yang berilmu juga hendaklah selalu mengingati mati kerana mati itu akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara yang bermanfaat untuk kehidupannya selepas mati.

Kesilapan besar pelajar masa kini ialah melibatkan diri dengan perkara sia-sia malah dengan perkara yang diharamkan menyebabkan hati menjadi kotor dan hilang fokus. Ramai pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting masih lagi sempat ‘bercouple’ dan ini adalah satu dosa yang hanya akan mengganggu focus terhadap pelajaran. 

Terdapat juga pelajar yang terlalu obsess dengan artis sama ada artis tempatan atau luar Negara dengan memujanya secara melampau. Ini juga adalah dosa kerana perintah Allah ialah menjaga pandangan daripada  melihat yang haram. Sebenarnya banyak lagi perkara melalaikan yang menjadi penghalang seseorang pelajar mencapai kecemerlangan.

Hati manusia dijadikan dalam keadaan tidak dapat memberi perhatian kepada dua perkara dalam satu masa. Bila seseorang pelajar terlibat dengan perkara lain dengan sendirinya pelajaran akan terabai. Lebih-lebih lagi bila melakukan perkara haram kerana dosa-dosa merupakan penghalang ilmu sebagaimana nasihat Imam al-Syafie.

Oleh yang demikian para pelajar dinasihatkan agar menghindari perkara-perkara yang boleh menghalang memperolehi kecemerlangan dalam akademik. Semoga Allah sentiasa membimbing kita  ke jalan yang diredaiNya.


1 ulasan:

  1. Pelajar-pelajar yang bermasalah dalam pelajaran biasanya ada masalah dengan Hati, Minda, Rohani dan Sahsiah dimana keempat-empat elemen ini tidak stabil dan rosak dan jika dibiarkan secara berterusan akan lagi rosak binasa. Pelajar bermasalah harus dirawat secara dalaman iaitu melalui pendekatan agama, menjaga makanan, fikiran, akhlak dan harus menerapkan segala perkara positif ke dalam diri.

    BalasPadam