28 Mei, 2010

Jangan Mengharapkan Kebaikan Kita Dibalas



Kadang-kadang berasa geram, kecewa dan hampa juga bila kebaikan yang kita lakukan kepada seseorang tidak dihargai walau pun sekadar mengucapkan terima kasih. Itulah kelemahan manusia,inginkan dirinya dihargai.

Jangan berasa kecewa dan merajuk bila keadaan ini berlaku. Sesungguhnya Allah tidak pernah leka dan terlepas pandang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh hambaNya. Ganjaran pahala tetap akan dibalas di akhirat nanti. Kita hanya perlu perbetulkan niat agar melakukan sesuatu kebaikan semata-mata kerana Allah.

Tabiat suka mengingkari, membantah dan memperkecilkan nikmat merupakan penyakit lazim yang menimpa manusia. Nikmat Allah yang tidak putus-putus dibalas dengan mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya. Begitulah tabiat manusia. Apa nak dihairankan jika mereka mengingkari kebaikan yang pernah kita berikan kepadanya.


 Siapalah kita untuk mengungkit-ungkit secebis kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain berbanding kebaikan Allah kepada seluruh makhluk. Namun Allah Maha Sabar dan Maha Pengasih. Allah terus-menerus mengurniakan nikmat walau pun hambaNya menderhakaiNya saban waktu.

Berlapang dada dan bersabarlah. Teruskan memberi kebaikan kepada orang lain walau pun tiada penghargaan, terima kasih dan balasan. Bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk melakukan kebajikan ketika orang lain melakukan kejahatan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah. Kami tidak menghendaki daripada kamu sebarang balasan atau terima kasih daripada kamu. ( Surah al-Insan : 9)

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita  untuk istiqamah melakukan jasa, bakti dan kebaikan kepada sesiapa sahaja semata-mata inginkan kemuliaan di sisi Allah di akhirat  kelak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan