16 Jun, 2010

Kisah Dari al-Quran : Kisah Ajaib Ashabul Kahfi



 Abu Aqil Adnan Ishak

Dalam al-Quran Allah SWT merakamkan banyak kisah-kisah yang pelik dan mengkagumkan sebagai tanda kekuasaan dan keagunganNya . Salah satu daripadanya ialah kisah ashabul kahfi yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun. Surah al-kahfi  menceritakan kegigihan pemuda-pemuda yang berusaha memelihara keimanan mereka. Firman Allah :

“ Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan Kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; Kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, Sesungguhnya Kami kalau demikian telah mengucapkan Perkataan yang Amat jauh dari kebenaran".( Surah al-Kahfi :14)

Pada awalnya mereka beriman secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh kaum mereka. Mereka menjalani kehidupan dalam masyarakat yang menyembah berhala dengan diperintah oleh raja zalim yang akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menganut agama selain agamanya yang batil.

Pemuda-pemuda ini kekal beribadat kepada Allah SWT dengan agama Nabi Isa a.s sehinggalah rahsia keimanan mereka terbongkar. Maka raja mengancam akan merejam mereka sehingga mati sekiranya mereka tidak menganut agama menyembah berhala.

Mereka berbincang untuk mencari jalan selamat daripada dibunuh oleh raja yang zalim itu. Salah seorang daripada mereka mencadangkan agar mereka mengasingkan diri dengan bersembunyi di sebuah gua yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Mereka bersetuju dan keluar menuju ke gua tersebut dalam keadaan mereka berdoa kepada Allah agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan mempermudahkan semua urusan mereka.
   
(ingatlah) tatkala Para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada Kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi Kami petunjuk yang Lurus dalam urusan Kami (ini)." ( Surah al-Kahfi :10)

Allah SWT memudahkan urusan mereka dengan melapangkan lubang gua serta menempatkan pintunya di sebelah utara, sehingga tidak terkena sinar matahari sama ada baik ketika terbit atau ketika terbenam, dan mereka tertidur dalam gua di bawah penjagaan serta perlindungan Allah SWT selama tiga ratus sembilan tahun. Firman Allah SWT ;

17. dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. itu adalah sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, Maka Dialah yang mendapat petunjuk; dan Barangsiapa yang disesatkan-Nya, Maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

18. dan kamu mengira mereka itu bangun, Padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka.

Kemudian Allah SWT membangkitkan mereka dari lena yang panjang. Salah seorang diutus agar pergi ke Bandar untuk mendapatkan makanan dengan membawa beberapa wang perak. Mereka berpesan agar menjaga rahsia dan jangan memaklumkan kepada sesiapa perihal mereka kerana takut akan mengancam agama mereka. Firman Allah :

19. dan Demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. berkatalah salah seorang di antara mereka: sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)". mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari". berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa uang perakmu ini, dan hendaklah Dia Lihat manakah makanan yang lebih baik, Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia Berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun.

Bila tiba di bandar dia mendapati suasana yang jauh berbeza dengan suasana yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Dia bertanya penduduk di situ tentang ahli keluarganya dan sahabat-sahabat tetapi mereka tidak mengenalinya.

Lebih memeranjatkannya dia mendapati penduduk di situ beriman, beramal soleh dan bertakwa dengan mengabdikan diri kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya. Sungguh ajaib.
Kemudian dia dibawa berjumpa dengan raja pada masa itu yang juga beriman kepada Allah SWT. Dia menceritakan kisahnya dan teman-temannya dengan panjang lebar. Maka raja tersebut memuliakannya dengan setinggi-tinggi penghormatan.

Kemudian dia pulang kepada teman-temannya dan menceritakan peristiwa yang  dialaminya. Mereka berasa bimbang perkara itu akan menyebabkan mereka disembah dan diagungkan oleh orang ramai sepertimana yang berlaku kepada Nabi Isa a.s. Oleh itu mereka berdoa memohon kepada Allah agar dicabut roh-roh mereka. Maka Allah memakbulkan doa mereka.

Orang ramai yang datang untuk berjumpa dengan mereka mendapati mereka semua telah meninggal dunia di gua tersebut. Mereka berbincang untuk membina bangunan agar boleh dilawati dan ada yang mencadangkan agar dibina sebuah masjid agar dapat beribadat kepada Allah di situ. Maka mereka membina sebuah masjid dan menulis nama-nama Ashabul kahfi padanya. Firman Allah SWT :

21. dan demikian (pula) Kami mempertemukan (manusia) dengan mereka, agar manusia itu mengetahui, bahwa janji Allah itu benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya. ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka[877], orang-orang itu berkata: "Dirikan sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: "Sesungguhnya Kami akan mendirikan sebuah rumah peribadatan di atasnya".

Pengajaran daripada kisah ashabul kahfi :

1- Tanda kekuasaan dan kudrat Allah tiada batasan dan sempadan.

2- Menetapkan akan berlakunya hari kiamat dan hari kebangkitan.

3- Kewajipan menjaga iman dan Islam.

4- Hanya kepada Allah tempat bergantung dan memohon pertolongan.

5- Digalakkan mengasingkan diri daripada bergaul dengan orang ramai yang fasik dan boleh 
menyebabkan agama terfitnah.

6- Bermesyuarat dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah.

7- Berhati-hati dan berwaspada daripada ditimpa bahaya.

8- Allah SWT membantu hambaNya yang bertawakkal dan berharap kepadaNya.

9- Diharuskan berjual beli dengan menghantar wakil.

10. Berwaspada agar terselamat dan bebas dari syirik dan khurafat sama ada berlaku kepada diri sendiri atau orang lain.

11. Amalkan doa yang dibaca oleh Ashabul kahfi iaitu :

رَبَّنَاآتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Wahai Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada Kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi Kami petunjuk yang lulus dalam urusan kami 

Semoga kisah yang ajaib ini dapat merangsang iman kita dan dapat memotivasikan diri agar sentiasa komited dengan iman dan Islam. Berusaha dan tekadkan pergantungan hanya kepada Allah SWT dalam segala urusan. Insya Allah, jalan penyelesaian akan ditemui.

Sumber : Qasas al-Quran Min Adam a.s Ila Ashab al- Fil, Doktor Muhammad Bakr Ismail, Darul Manar, 1997.

1 ulasan:

  1. Terima kasih kerana berkongsi :) Fara pinjam sikit ya :)
    http://farra-izzaty.blogspot.com/2013/12/kisah-ashabul-kahfi-kembara-palestin.html

    BalasPadam