04 September, 2010

Masyarakat Islam Perth lalui Ramadan dengan tenang



Daripada Mohd Hamizar Hamid di Perth, Australia


KETIKA umat Islam di Malaysia sibuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa, umat Islam di sini sudah hampir selesai mengerjakan solat sunat Tarawih.

Hanya perbezaan suasana di kedua-dua tempat walaupun berada pada Garisan Tarikh Antarabangsa (GMT) yang sama, menjadikan puasa umat Islam di sini lebih singkat sepanjang Ramadan yang secara kebetulan jatuh pada musim sejuk.

Tempoh masa berpuasa bagaimanapun bukan menjadi persoalan. Paling penting pengisian kerohanian sepanjang berada di dalam Ramadan baik ketika siang mahupun malamnya.

Umumnya perjalanan kehidupan umat Islam di sini tidak banyak beza dengan di tanah air. Bagi pelajar universiti, mereka masih menghadiri kelas sama seperti bulan lain.

Malah jika masih ada kuliah yang tamat selepas jam 6 petang, kebanyakan pensyarah bukan Islam akan membenarkan pelajar Islam keluar seketika untuk berbuka puasa. 

 Bagi pasangan pelajar yang menjalankan kerja separuh masa pula, mereka mungkin terpaksa bersahur di tempat kerja. Bagaimanapun ia langsung tidak menghalang umat Islam menjalani ibadah puasa sama seperti masyarakat Islam lain di seluruh dunia.

Secara keseluruhan, suasana dirasakan tidak begitu asing (mungkin kerana ramai umat Islam di sini). Malah pelajar sekolah juga tidak berasa kekok kerana hampir semua sekolah di sini tidak mempunyai kantin. 

Berbeza dengan berpuasa di tanah air, waktu berbuka puasa banyak disiarkan akhbar malah ada pihak tertentu menyediakan jadual khusus berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Sebaliknya, umat Islam di sini terpaksa merujuk kepada jadual masuknya waktu Maghrib untuk berbuka dan waktu solat Subuh sebagai panduan imsak untuk bersahur.

Suasana juga dirasakan sepi setiap kali masuk waktu solat kerana tidak kedengaran azan berkumandang baik dari masjid ataupun televisyen sehinggakan ada antara kami yang sengaja memasang azan menerusi komputer riba untuk mendapatkan mood berbuka.

Rancangan masakan pula cukup banyak disiarkan pada waktu siang, tetapi bukanlah rancangan masakan yang menyediakan resipi juadah berbuka mahupun biskut raya.

Peluang menyambut Ramadan di perantauan turut digunakan wanita bergelar isteri dan ibu untuk mencuba pelbagai resipi juadah kampung yang sebelum ini hanya dibeli ketika berada di tanah air sebagai santapan berbuka puasa.

Tidak setakat mencari resipi kuih kampung menerusi laman web, kaedah paling cepat menghubungi ibu di kampung kerana umum mengetahui tidak mudah menghasilkan kuih tradisional yang sempurna hanya dengan mengikut buku resipi.

Seperkara yang sangat menarik untuk dikongsi bersama ialah ruang bermain dan belajar yang disediakan pihak masjid untuk kanak-kanak sepanjang waktu solat sunat Tarawih dan Witir.

Kanak-kanak yang dibawa ibu bapa mereka ke masjid berpeluang menjalankan aktiviti menulis, melukis, mewarna dan bermain di dalam bilik khas yang disediakan dalam masjid.

Tidak cukup dengan ruang diberi, kanak-kanak berkenaan turut dikawal kakitangan masjid yang bertugas mengikut giliran. Tindakan pihak pengurusan masjid memberi peluang dan ruang kepada ibu bapa menjalankan ibadah solat sunat Tarawih dengan lebih khusyuk dan tenang.

Pekerja sukarela di Masjid Suleyman di Canning yang mahu dikenali sebagai Hatice atau Khatijah, berkata, beberapa petugas sukarela akan menjaga kanak-kanak sepanjang waktu solat Tarawih di masjid berkenaan secara bergilir.

Kaedah ini sangat praktikal bagi membolehkan lebih ramai umat Islam yang sudah berkeluarga membawa anak masing-masing hadir berjemaah di masjid, katanya yang berasal dari Turki dan sudah hampir 20 tahun menetap di sini. 


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share